Tuesday, January 25, 2011

Semat Etika Kerja Positif - Pehin Sri


SARIKEI, 24 Jan (Bernama) — Sarawak akan berupaya mencapai kemajuan dengan lebih pantas jika penduduknya mempunyai etika kerja dan sikap positif lain, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Selain itu, mereka juga perlu sentiasa meninjau peluang yang dibawa oleh dasar dan perancangan kerajaan, katanya ketika berucap pada seminar kemajuan dan kepimpinan yang berlangsung selama dua hari dan dihadiri 514 pemimpin masyarakat dari Sarikei di sini hari ini.
Beliau berkata tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan melainkan dengan bekerja keras.
“Perkara yang membawa kepada kemajuan dan kekayaan kita bukan sekadar sumber semata-mata, kita juga perlu memiliki corak pemikiran yang betul.
“Sudah tentulah tiada siapapun yang boleh bergantung kepada bantuan kebajikan kerajaan semata-mata kerana jika semakin ramai orang tidak berminat untuk bekerja keras dan hanya ingin meneruskan hidup melalui bantuan, ia akan
mengakibatkan negeri dan negara kita menjadi muflis,” katanya.
Beliau berkata satu daripada faktor paling utama untuk negeri ini bergerak bersama-sama ke arah mencapai masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2020, adalah dengan mempunyai kumpulan profesional yang mencukupi.
Sementara itu, beliau menasihati pemimpin masyarakat di bahagian Sarikei supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini berhubung pelbagai pembangunan yang sedang mengambil tempat di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak dan Hab Halal Tanjung Manis.
“Dengan berbuat demikian, anda akan mengetahui betapa banyaknya peluang pekerjaan dan perniagaan yang akan dijana.
“Anda boleh berkongsi maklumat itu dengan mereka yang berada di bawah bidang kuasa anda. Tugas anda bukan semata-mata untuk memimpin tetapi juga untuk memaklumkan,” kata Taib. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment