Friday, August 13, 2010

PKR sedia kriteria menetapkan calon Ketua Menteri Sarawak



oleh Abdul Hakim Bujang

Baru-baru ini Kursus Bina Wadah PKR telah diadakan di Hotel D Village, Ayer Keroh, Melaka. Ia telah dirasmikan oleh bakal calon Timbalan Presiden PKR, Mustafa Kamil, mantan pengerusi perhubungan PKR negeri Sarawak.

52 peserta telah mengambil bahagian terdiri dari Sayap Wanita dan AMK seluruh negara. Turut hadir pakar-pakar import PKR Jost Wagner dan Animah Faerer.

Tajuk paling besar dan membuatkan saya teruja ialah “Menetapkan calon Ketua Menteri Sarawak yang baru”. Tajuk ini membuatkan saya hilang minat untuk meneliti tajuk-tajuk lain kerana rasa geli-geleman telah menguasai minda saya. PKR sudah begitu yakin mahu melahirkan Ketua Menteri Sarawak.

Saya tidak tahu sama ada mahu muntah atau ketawa sendirian apabila melihat tajuk itu. Bukannya apa, masalah dalaman PKR bukan lagi rahsia. Selama ini PKR Sarawak hanya menumpang glamour sekutu mereka DAP.

Sudah terlalu banyak perkara aneh yang berlaku dalam PKR Sarawak untuk dilupakan begitu sahaja. Mula-mula mereka menghebahkan kemasukan seorang pejuang rakyat memasuki parti itu, tiba-tiba pejuang rakyat itu jatuh cinta pada parti baharu dan melupakan PKR. Akhirnya dia dicemuh dan dimomokkan. Segala kata-kata manis terhadap tokoh itu hilang.

Kemudian masuk pula seorang veteran memikul panji-panji PKR di Batang Ai. Mereka terpekik-terlolong mahu menangkap perompak tanah rakyat. Apabila kalah, sehingga hari ini tokoh itu masih hilang dan belum lagi ditemui. Statusnya juga tidak kami ketahui sama ada masih berada di tujuh petala langit mahupun tujuh petala bumi.

Belum reda kes tokoh-tokoh itu, ADUN tunggal PKR pula menyaman Setiausaha DAP Sarawak kerana menjejaskan peluang dirinya mahu menjadi seorang Ketua Menteri atau Menteri. Tidak tahu pula perkembangan terkini ADUN yang seorang ini. Pendiriannya juga sukar dimengerti, mula DAP keluar DAP lalu masuk PKR, keluar PKR jadi bebas, masuk semula PKR. Ingatlah gelaran Katak cuma untuk orang BN. Orang-orang PR semuanya mulia.

Terkini perhimpunan puak-puak penentang Baru Bian khabarnya telah diadakan di rumah seorang penasihat PKR. Bila kami mendedahkannya, kami dimaki-hamun. Ramai yang berkata ini semua fitnah. Malah khabarnya ada makhluk yang sudah menunaikan fardhu Haji dan seorang yang bergelar Datuk bermati-matian menyerang saya dalam mesyuarat dengan Timbalan presiden PKR. Itu budaya mereka, menyerang orang yang tidak dapat mempertahankan dirinya. Bila ditanya, menafikan. Ada masalah, salahkan orang. Buruk orang nampak, pekung sendiri? Sifat inilah yang dimuliakan dalam PKR.

Ketika seluruh pasukan PR menggempur Akta Keselamatan Dalam Negeri – ISA – baru-baru ini, kami juga dijemput menghebahkannya. Anehnya ia dibantah keras oleh pemimpin kanan PKR sendiri melalui SMS. Nampaknya usaha untuk menekankan perpaduan dalam PR perlu dimulai dalam PKR sendiri. Cerita tentang pemimpin PKR Sarawak memburuk-burukkan satu sama lain bukanlah suatu rahsia. Sepatutnya ini cuma perangai orang-orang Barisan Nasional (BN). Aneh juga ya.

Semalam telefon bimbit saya dihujani deretan SMS. Antaranya ialah tiga perenggan berikut ini:

“Baru Bian’s choice of Paul Raja,another Lun Bawang, as PKR candidate to stand in Kakus a 90 percent Iban Constituency is facing strong objection.Party to brass not aligned to Baru joined by several SDNU top guns held a meeting over the wkend at an undisclosed loction in Kuching to discus the matter..more to come

The leaders also express their concern about the work of several small nepoleons in PKR lead by Bahar Mohksen, a self proclaimed ‘Malay Icon’ who seem to controlling Baru…some more

Following the recent alledged mutiny by Hafsah and several senior PKR Swak leaders against Baru’s limping leadership,Baru is reported to have said in a national paper recently that he suspected a ‘powerful’ persona lity who wants to control Swak was behind the move.The meeting wanted Baru to substantiate the allegation.”

Yang menghairankan saya, si penghantar apabila dihubungi oleh pemberita saya, tidak berani menjawab panggilan. Apakah maksudnya semua ini? Beliau menggunakan nombor 0198xx7702. Mungkin sesama orang PKR tahu siapa dia.

Kita tidak memerlukan pakar untuk menyiasat masalah rasa tidak puashati golongan tertentu terhadap Baru Bian dan pasukannya. Malangnya, mereka sendiri pernah dan telah diberikan peluang memimpin PKR Sarawak tetapi dengan perkataan yang paling manis dapat saya ungkapkan “tidak berjaya”.

Politik mereka selama ini juga hanyalah sekadar bercerita tentang keburukan orang, kegagalan orang dan belum pernah lagi saya mendengar cerita-cerita kehebatan dan kejayaan mereka.

Selaku wartawan kampungan yang berpeluang mengenali beberapa aktivis tempatan dan luar negara, setiap kali mendengar pemimpin PKR atau DAP bersuara tentang isu kemiskinan saya pasti bertanya sendiri dalam hati, apakah yang pernah mereka lakukan dalam berjihad memerangi kemiskinan?

Seorang kawan saya secara senyap-senyap dan tidak diketahui umum telah melakukan projek “empowerment” melibatkan kaumnya sendiri. Kaum wanita diajar dan diberikan modal untuk menanam bunga, hasilnya dijual dan mengeluarkan mereka dari kelompok kemiskinan. Tidak perlulah saya menyebut nama beliau kerana kini dia sudah menjadi seorang pemimpin yang dihormati walaupun tidak memegang jawatan politik.

Seorang lagi kawan saya di Indonesia berkerja juga dengan sebuah NGO. Beliau dengan megahnya memberitahu saya skim mikro-kredit mereka sangat berjaya. Malah mereka telah dijemput menghadiri Forum Dayak Borneo di Kuching tempohari.

Jika kriteria ini hendak dijadikan pengukur, rasanya pemimpin muda PKR Sarawak belum ada apa-apa pencapaian hendak ditunjukkan. Setakat menunjukkan berani melaporkan salah-laku rasuah, meletakkan link-link berita di FaceBook atau menulis sebaris dua kenyataan di blog, bolehlah.

Bagi yang bergelar pejuang tanah rakyat pun, ingin juga kita mengetahui berapakah jumlah pendapatan yang telah mereka perolehi selaku peguam plaintif?

Jika beginilah cara pemimpin PKR Sarawak berfikir dan bertindak, usahkan hendak mengambil-alih negeri Sarawak. Bertanding pilihanraya negeri dan berjaya mempertahankan wang deposit sudah boleh dianggap sebagai suatu pencapaian.

Mudah-mudahan janganlah pula ada yang tidak bertegur sapa menjelang hari baik dan bulan baik ini nanti semata-mata membincangkan isu Kursus Bina Wadah PKR – “Menetapkan calon Ketua Menteri Sarawak yang baru”. Selamat menjalankan ibadah puasa. Maaf Zahir dan Batin.

No comments:

Post a Comment