Oleh Hazel Lee
SIBUTI — Rakyat disaran agar tidak terpedaya dengan kemunculan parti-parti baru yang mendakwa diri sebagai pejuang bangsa, agama dan negara, kata Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan.
Beliau berkata, sudah menjadi lumrah setiap kali musim pilihan raya, maka akan muncul parti-parti baru yang menunjuk pandai kononnya dapat memperjuangkan nasib rakyat.
”Namun, rakyat harus ingat sebelum mereka menyokong parti-parti baru ini, lihat apa yang telah mereka perjuangkan kepada rakyat selama ini.”
“Rakyat sebaliknya perlu terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) yang telah membuktikan kewibawaannya sepanjang memerintah negeri ini,” katanya berucap pada majlis lawatan kerja Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato Seri Mohd Shafie Apdal di Kampung Rancah-Rancah, Bekenu hari ini.
Tengah yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II berkata, rakyat tidak harus terpengaruh dengan kemunculan parti-parti politik baru ekoran pilihan raya negeri akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
“Selepas pilihan raya berakhir, mereka kemudian menghilangkan diri. Tujuan mereka hanya untuk memecah-belahkan perpaduan dan kestabilan rakyat di negeri ini. Mereka bukan untuk menyelesaikan masalah, sebaliknya memberi masalah besar.”
“Sehubungan itu, kita menasihatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan segala bentuk hasutan yang cuba disebarkan oleh pembangkang,” katanya.
Mengenai lawatan kerja Dato Seri Mohd Shafie Apdal ke Sibuti semalam, Tengah menyifatkan ia adalah bukti kesungguhan dan keprihatinan kerajaan untuk mendekati rakyat ke peringkat akar umbi.
“Kita harus berbangga dan berterima kasih kerana beliau dapat memberikan keyakinan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi peruntukan yang besar bagi membangunkan infrastruktur di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).”
Tegasnya, peruntukan besar daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi menyediakan kemudahan air, jalan dan elektrik untuk Sarawak menzahirkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan negeri ini tidak terpinggir.
sarawakupdate.com 9/8/2010
No comments:
Post a Comment