Thursday, March 3, 2011

BN dijangka kekalkan 2/3 kerusi di Sarawak

 
KUCHING, 2 Mac (Bernama) — Barisan Nasional (BN) Sarawak dijangka berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga pada pilihan raya negeri yang bakal diadakan sebelum 24 Julai depan tetapi mungkin menghadapi persaingan sengit di kawasan bandar.
Penganalisis politik meramalkan BN yang memegang 61 daripada 71 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan kehilangan lebih banyak kerusi di kawasan bandar yang majoriti pengundi terdiri daripada kaum Cina.
Pakar Sains Politik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Faisal S. Hazis berkata terdapat 12 kerusi marginal di negeri itu yang boleh berubah kedudukannya.

“Berdasarkan trend pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan perpindahan undi sebanyak lima peratus kepada pembangkang, kita boleh menjangka pembangkang akan berjaya mempertahankan kesemua 12 kerusi dan memenangi lima lagi kerusi.
“Jumlah itu tidak mencukupi untuk menafikan BN memperolehi majoriti dua pertiga,” katanya.
Faisal berkata 14 kerusi itu merangkumi 10 kawasan pengundi majoriti kaum Cina, tiga kerusi majoriti pengundi Bumiputera bukan Islam dan satu kerusi majoriti pengundi Bumiputera Islam.
Katanya pembangkang memerlukan 20 peratus pemindahan undi untuk menguasai 36 kerusi yang akan membolehkan mereka mendapat majoriti mudah.
Penganalisis politik Unimas Dr Jeniri Amir berkata pembangkang tidak boleh mengurangkan majoriti dua pertiga daripada BN walaupun anggota komponen seperti Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) kehilangan lebih banyak kerusi.
“PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu yang diketuai Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan merupakan parti tunjang bagi BN Sarawak) adalah sangat kukuh. Saribas dan Ba Kelalan yang dimenangi dengan majoriti tipis mungkin dirampas oleh pembangkang sekiranya BN tidak berhati-hati tetapi ia sukar diramal,” katanya.
PBB memenangi kerusi Saribas dengan hanya 94 majoriti undi manakala calon BN dari Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) memenangi kerusi Ba Kelalan dengan majoriti 400 undi pada pilihan raya negeri 2006.
Jeniri menjangkakan SUPP akan hilang kerusi Pelawan dan Dudong di Sibu dan Repok di Sarikei sebahagiannya kerana parti itu masih mengekalkan muka lama.
“Tidak mustahil pembangkang akan menambah bilangan kerusi tetapi tidak sehingga mengetepikan majoriti dua pertiga BN,” katanya.
Beliau memberi empat faktor pembangkang berupaya menambah bilangan kerusi termasuk menjalin koordinasi dan kerjasama lebih baik antara pakatan pembangkang.
Faktor lain ialah ‘kesedaran yang tinggi di kalangan pengundi’, isu kepimpinan negeri dan keputusan pilihan raya umum Mac 2008 ‘yang telah membuka mata sebahagian pengundi’.
Di atas kertas Jeniri berkata sekurang-kurangnya terdapat 18 kerusi dianggap kritikal, 10 kerusi hitam manakala 30 kerusi kelabu tetapi kebelakangan ini Ketua Menteri telah melakukan banyak kompromi kepada rakyat.
Kompromi itu termasuk kesemua tanah yang dibekukan di Bako sejak 30 tahun lepas mengikut Seksyen 47 Kanun Tanah Sarawak, telah ditarik balik.
Mengikut Seksyen 47 Kanun Tanah Sarawak adalah satu notis awam yang menyatakan bahawa tanah mungkin diperlukan untuk tujuan awam dan menghalang pemilik tanah membangunkan tanah berkenaan.
Penganalisis politik UCSI Ong Kian Ming berkata DAP dijangka memenangi 12 daripada 15 kerusi majoriti kaum Cina.
Tetapi tanpa sokongan ketara daripada Dayak atau Iban, ia tidak dapat menjejaskan kedudukan BN untuk terus memegang kuasa, katanya.
Sekiranya BN Sarawak gagal mempertahankan majoriti dua pertiga, Ong berkata ia akan menyebabkan BN berdepan risiko hilang 10 kerusi daripada 31 kawasan Parlimen negeri itu pada pilihan raya akan datang.
“Ini akan menjejaskan usaha BN untuk mempertahankan Sabah dan Sarawak yang dianggap sebagai ‘simpanan tetap’ BN,” tambah Ong.
Pembangkang hanya menguasai dua kawasan Parlimen di Sarawak — Bandar Kuching dan Sibu, kedua-duanya di bawah DAP.
Penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata Sarawak harus menangani beberapa isu seperti menamakan bakal pemimpin negeri untuk mengelak lebih ramai penyokong hilang terutama komuniti Cina.
“Mereka (komuniti Cina) akan mempertimbangkan setiap undi yang diberi kepada SUPP merupakan undi yang diberi kepada Taib,” katanya dan menambah mereka kemungkinan akan memilih pembangkang sebagai ‘tanda protes’.
Bagaimanapun, Sivamurugan menjangkakan rakyat di kawasan luar bandar akan terus menyokong BN.
“BN akan mengekalkan majoriti dua pertiga tetapi pencapaiannya tidak sebaik keputusan pilihan raya 2006, melainkan terdapat hala tuju yang jelas untuk pelan peralihan kepimpinan,” katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment