Monday, March 14, 2011

Kerajan negeri luluskan Pelan Induk Pembesaran Lawas : Tengah

BPO 
Posted on March 14, 2011, Monday
LAWAS: Kerajaan Negeri meluluskan Pelan Induk Pembesaran Bandar Lawas yang meliputi pembinaan kompleks beli-belah dan bangunan bertingkat untuk hospital yang baru.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata kompleks beli-belah itu merangkumi ruang pejabat manakala projek hospital baru dibina di tapak hospital lama.
“Saya telah memberitahu arkitek hospital baru ini untuk mereka bentuk model hospital ini dengan mengambil kira kawasan sekitarnya yang merangkumi bandar, tebingan sungai dan kawasan pembangunan sekeliling agar serasi dengan persekitaran,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam majlis makan malam penghargaan bersama para penganjur dan peserta yang terlibat dalam menjayakan Program Sejiwa Senada Limbang bertempat di Hotel Seri Malaysia di sini, malam kelmarin.
Tengah yakin fasa kedua projek tebingan sungai dan bandar akan mengubah landskap dan memberi wajah baru kepada bandar kecil Lawas.
Manakala projek pembinaan taman Merapok dan Trusan yang akan dilaksanakan bakal mempelbagaikan kemudahan taman rekreasi di Lawas.
Namun demikian, Tengah turut melahirkan rasa kesal dan kecewa beliau kerana masih terdapat unsur-unsur politik negatif terhadap projek bekalan air di wilayah Trusan yang telah menyebabkan ribuan pengguna di daerah berkenaan sengsara.
“Projek ini sepatutnya siap pada tahun lepas.. Namun, disebabkan gangguan tersebut telah memberi kesan kepada projek air wilayah Trusan yang menyusahkan pelbagai pihak.
“Ini adalah ‘politik’ kesengsaraan dan mementingkan diri sendiri yang hanya membawa kerugian,” ujarnya.
Menyentuh mengenai kejayaan Program Sejiwa Senada, beliau mengucap tahniah di atas kerjasama yang telah diberikan.
Beliau berharap agar semangat kerjasama dan kerja berkumpulan diteruskan.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Pegawai Daerah Lawas Mohd Supaih Hamdan dan ketua-ketua kaum.

1 comment:

  1. Datuk Amar bukakan peluang rakyat untuk memberi pendapat2 bernas bagi membangunkan lawas ke tahap lebih tinggi. Boleh di jadikan satu agenda untuk memulakan projek corridor pembangunan kecil menyerupai corridor2 bangunan nasional ala Pak Lah tetapi dalam skop lebih kecil untuk kepenting penduduk lawas.

    ReplyDelete