SEDIA BEKERJASAMA: Syed Mohamad (dua kanan) dan Bernard (dua kiri) bertukar-tukar dokumen selepas menandatangani MoU sambil disaksikan oleh Awang Tengah (tiga kiri), Azahari (kanan) dan Tay. — Gambar Jeffery Mostapha
Posted on February 25, 2011, Friday
KUCHING: Lebih ramai modal insan yang berpenge-tahuan dan berkemahiran tinggi diperlukan di Sarawak untuk menampung keperluan industri tenaga intensif.Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan negeri amat menggalakkan penubuhan industri tersebut yang sekali gus dapat meningkatkan pendapatan penduduk.
“Penubuhan industri tenaga intensif yang akan bertindak sebagai katalis untuk pertumbuhan sektor lain seperti sektor perkhidmatan, bakal mewujudkan permintaan bagi modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) usahawan antara Pusat Latihan Proaktif (Bernard Protection Systems) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden Pusat Latihan Proaktif Dr Bernard Tan, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Syed Mohamad Noor Syed Mat Ali serta Presiden dan wakil Naib Canselor Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Azahari Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Latihan Proaktif Tay Thing Swee.
Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata, kemahiran dan pengetahuan itu mampu dicapai dengan menyediakan latihan sewajarnya dan pembangunan tenaga kerja yang diperlukan oleh industri.
Menurutnya, latihan dan pembangunan tenaga kerja bukan sahaja memerlukan pengetahuan secara teorikal tetapi juga latihan dan pengalaman secara praktikal seperti yang diperlukan oleh industri.
“Kerjasama vokasional awam dan swasta itu menuju ke arah positif iaitu melahirkan tenaga kerja elektrikal yang juga dapat berfikir secara kritis apabila menggunakan kemahiran dan pengetahuan, sama ada dalam aspek teori atau praktikal yang amat relevan dan diperlukan oleh industri,” katanya.
Manakala Bernard berkata, peluang kerjasama bersama ILP Kota Samarahan itu dijangka dapat mengembangkan kebolehan dan pembangunan intelektual program pendidikan dan latihan dalam bidang kejuruteraan elektrikal khasnya secara praktikal.
“Kami bersedia untuk melatih tenaga kerja yang berkemahiran antarabangsa supaya graduan dari kedua-dua institusi (ILP dan Pusat Latihan Proaktif) dapat dipasarkan di mana-mana di dunia ini,” katanya.
Sementara itu, Syed Mohamad memberitahu ILP Cawangan Bintulu dijangka mula beroperasi pada 2012.
“Ia dapat menampung lebih 700 pelajar dan menawarkan pelbagai jenis kursus diploma dan diploma lanjutan kemahiran.
No comments:
Post a Comment