Thursday, June 2, 2011

Pehin Sri - Usahawan Bumiputera harus berdikari


by Agnes Tugong. Posted on May 31, 2011, Tuesday
Usahawan Bumiputera IKS di negeri ini dinasihatkan tidak bergantung kepada bantuan kerajaan


BERJAYA: Taib bergambar bersama penerima Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak 2010 di Kuching semalam. — Gambar Johnathan Bullet
KUCHING: Usahawan Bumiputera industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini dinasihatkan supaya tidak bergantung kepada bantuan kerajaan sebaliknya berdikari untuk berjaya dalam bidang ekonomi.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, 99 peratus usahawan yang terdapat di negeri ini adalah terdiri daripada IKS dan menyumbang sebanyak 51 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri.
Justeru katanya, usahawan Bumiputera IKS di negeri ini perlu mempelajari cara pengurusan perniagaan yang lebih baik untuk membolehkan mereka bergerak jauh dalam bidang ekonomi.
“Kemunculan industri kecil dan sederhana merupakan antara penyumbang kepada KDNK negeri dan pada masa yang sama menyediakan kira-kira 60 peratus peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Banyak perubahan di negeri ini bergantung kepada pertumbuhan usahawan IKS terutama di kawasan luar bandar dan bandar sederhana.
“Justeru, kita perlu gerakkan usaha-usaha untuk melonjakkan lagi kegiatan industri di kalangan usahawan IKS khasnya Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak 2010 di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Tambah Taib, dalam usaha melonjakkan usahawan IKS, rakan-rakan industri daripada kaum bukan Bumiputera khasnya Cina perlu melihat IKS tidak hanya untuk Bumiputera sebaliknya bekerjasama antara satu sama lain dalam industri.
Ini menurutnya, bukan sahaja dapat memberikan persaingan yang sihat di kalangan usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera malah katanya, dapat menggerakkan lagi kegiatan ekonomi yang lebih baik.
Dalam perkembangan lain, Taib berkata sebanyak 24 industri berskala besar berminat melabur di Samalaju dengan jumlah pelaburan sebanyak RM80 billion.
Katanya, jika ia terlaksana kelak, negeri dijangka akan mampu meningkatkan KDNK dalam negeri sebanyak tiga kali ganda sekali gus mencapai pendapatan perkapita sebanyak 15,000 dolar Amerika (USD).
Bercakap mengenai majlis tersebut, Taib berkata ia merupakan julung kalinya diperkenalkan dan diharap akan menggalakkan usaha kerajaan untuk melahirkan banyak lagi usahawan Bumiputera yang berjaya.
“Saya menyambut baik kerjasama yang diusahakan di antara Unit Pembangunan Ushawan Bumiputera (UPUB) dan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) kerana telah berjaya memperkenalkan anugerah yang berprestij ini,” ujarnya.
Seramai enam orang usahawan menerima anugerah masing-masing antaranya, Usahawan Bumiputera Harapan (Winnie Philip Semur, Syarikat Wira Jaya), Saffaee Osman (Bumi Electron Engineering), Roslyn Lah (Livan Handicraff), Norjanah Ahmad (J & J Trading Enterprise), Jamilah @ Hairuni Shukri (Santubong Indah Enterprise) dan Morshidi Mohd Nor (Pembinaan Masrafan Sdn Bhd).
Turut hadir, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Presiden DUBS Datu Helmi Tan Sri Ikhwan dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Mohd Naroden Majais.

1 comment:

  1. boleh link blog saya http://theoutsider81.blogspot.com. saya dh link ur blog

    ReplyDelete