Sunday, June 19, 2011

Jaga adab persidangan: Asfia

by Jessica Jawing. Posted on June 18, 2011, Saturday
ASFIA
Lebih ramai ADUN pembangkang bukan alasan tidak patuh Perintah Tetap

KUCHING: Penyertaan lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang pada Persidangan DUN kali ini bukan alasan untuk tidak mematuhi Perintah Tetap.
Speaker DUN Sarawak Dato Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata sebaliknya terpulang kepada ADUN itu sendiri untuk lebih beradab dan mematuhi Perintah Tetap.
“Persoalan sama ada ‘bising’ atau tidak, ia terpulang kepada ADUN untuk menghormati etika dalam DUN dan mematuhi Perintah Tetap.
“Saya amat gembira sekiranya semua Yang Berhormat dalam persidangan mematuhi Perintah Tetap,” katanya dalam sidang media di DUN di sini, semalam.
Beliau memberitahu persidangan kali ini yang menyaksikan 15 wakil daripada pembangkang termasuk seorang bebas, bukan jumlah terbesar.
“Ini bukan jumlah terbanyak dalam DUN. Pembangkang paling ramai pada 1987 di mana 20 ahli pembangkang daripada 48 ADUN Barisan Nasional (BN),” tegasnya.
Berhubung Persidangan DUN Ke-17 yang bermula pada 20 Jun ini, katanya ia didahului dengan majlis angkat sumpah oleh wakil rakyat baru pada 20 Jun, jam 9 pagi.
Sementara pada keesokannya (22 Jun) majlis perasmian persidangan dengan acara perarakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin diikuti ucaptama beliau dan majlis banquet negeri pada sebelah malam di Dewan Santapan DUN juga dihadiri TYT.
“Pada 23 Jun, speaker akan mengumumkan persidangan bermula seterusnya sesi soal jawab oleh ADUN, kemudian bacaan bagi Rang Undang-Undang dan berakhir dengan Usul.
“Manakala pada 23 dan 24 Jun, persidangan dimulakan dengan sesi soal jawab dan perbahasan ucaptama TYT,” tegasnya.
Asfia menjelaskan persidangan yang disambung pada 27 hingga 29 Jun itu menyaksikan penggulungan daripada kementerian.
Beliau berkata pihaknya menerima sebanyak 355 soalan yang bakal diajukan semasa persidangan dan daripada jumlah itu 307 jawapan secara lisan sementara 48 daripadanya jawapan bertulis.
“Kami telah menolak 10 soalan yang disediakan atas pelbagai sebab,” katanya.
Beliau berkata jumlah soalan terbanyak yang diketengahkan adalah arahan daripada Pejabat Ketua Menteri dengan 101 soalan dan 84 daripadanya jawapan lisan sementara 17 adalah jawapan secara bertulis.
Manakala daripada 38 kelab penyokong yang mengajukan soalan hanya 28 daripadanya akan kemukakan soalan.

No comments:

Post a Comment