Thursday, June 23, 2011
TYT ingatkan ADUN jangan bangkit isu sensitif dan berbau perkauman
Posted on June 22, 2011, Wednesday
KUCHING: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin mengingatkan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) agar sentiasa menjaga tatatertib dan kesopanan semasa berhujah pada persidangan DUN ke-17 yang bermula kelmarin.
Amalan sistem demokratik yang dipraktikkan di negara ini ujarnya bukan alasan untuk ahli-ahli dewan (ADUN) membangkitkan isu-isu sensitif dan sentimen berbau perkauman kerana ia boleh menggugat keharmonian serta perpaduan.
“Justeru, suka cita saya ingin mengingatkan semua Ahli Yang Berhormat, agar sentiasa menjaga tatatertib dan kesopanan semasa berhujan di dalam dewan yang mulia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada upacara pembukaan persidangan DUN yang ke-13 di Kompleks DUN negeri di sini semalam.
TYT dalam ucapan juga berkata tanggungjawab sebagai wakil rakyat adalah amanah yang amat besar maknanya.
Rakyat ujarnya mempunyai harapan yang tinggi terhadap komitmen dan keupayaan wakil mereka untuk membela kebajikan dan menjamin kemakmuran pada masa depan yang semakin mencabar.
“Ahli-ahli Yang Berhormat juga hendaklah mengadakan lawatan dan bertemu lebih kerap dengan rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.
Mengenai perkembangan lain, TYT berkata rakyat harus bijak menghadapi situasi kenaikan harga barang ekoran kenaikan harga minyak di pasaran global dengan berbelanja secara berhemah.
Beliau bagaimanapun yakin langkah-langkah proaktif diambil kerajaan akan dapat menangani impak kenaikan harga minyak dunia tanpa membebankan rakyat.
Mengenai pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), TYT menyuarakan rasa bangganya dengan kemajuan pelaksanaan projek mega itu.
“Saya bangga kerana kerajaan telah berjaya menyediakan kemudahan infrastruktur bagi memenuhi keperluan para pelabur.
“Pembangunan infrastruktur ini juga telah membuka potensi pembangunan di kawasan luar bandar seperti perladangan komersial, industri desa dan pelancongan,” katanya.
Pada masa sama TYT mengingatkan agar pembangunan modal insan tidak diketepikan sebaliknya memantapkan lagi pembangunan kapasiti modal insan bermula dari prasekolah hingga ke universiti.
Menyentuh mengenai konsep 1Malaysia, beliau berkata ia merupakan pendekatan baik mengatasi cabaran dalam memupuk perpaduan di kalangan pelbagai agama, bangsa dan budaya mestipun gagasan itu bukan perkara baru bagi Sarawak.
Persidangan DUN kali ke-17 bermula kelmarin (Isnin lepas) dan dijadual berakhir pada 29 Jun ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment