Wednesday, June 1, 2011

Pehin Sri : Masyarakat Dayak diharap terus mencapai kemajuan


Posted on June 1, 2011, Wednesday
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yakin masyarakat Dayak negeri ini terus mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang seiring dengan kaum-kaum lain dan sejajar dengan gagasan 1Malaysia.
Taib berkata kerajaan sememangnya telah merancang pelbagai pelan pembangunan untuk rakyat semua kaum di negeri ini dan tidak terkecuali dengan masyarakat Dayak.
“Saya percaya dengan pelan pembangunan yang telah dan sedang dirancang oleh kerajaan negeri dan pusat untuk semua kaum akan dapat dinikmati oleh masyarakat Dayak,” katanya dalam per-utusan sempena Hari Gawai yang diraikan hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa program transformasi kerajaan yang menyeluruh dalam pelbagai bidang akan mampu memberikan peningkatan kemahiran dan ekonomi kepada semua rakyat.
Katanya, program transformasi kerajaan untuk memajukan rakyat terutamanya di luar bandar adalah sejajar dengan konsep ‘rakyat didahulukan’.
“Sempena sambutan Hari Gawai tahun ini, saya merakamkan setinggi penghargaan kepada semua masyarakat Dayak yang telah memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus menerajui kerajaan negeri ini.
“Saya percaya dengan sokongan padu dan semangat kerjasama yang diberikan oleh masyarakat Dayak, maka dapatlah kita meneruskan agenda pembangunan kepada rakyat negeri ini,” katanya.
Taib menarik perhatian bahawa gelombang kedua pembangunan negeri ini memfokuskan kepada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Justeru, katanya banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan dapat diwujudkan dalam pembangunan SCORE yang memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini.
“Pembangunan SCORE mencakupi pelbagai bidang seperti kemahiran teknologi, industri berat, hab halal, pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera, projek perumahan, perikanan, pertanian dan sebagainya.
“Saya berharap rakyat termasuk masyarakat Dayak akan terus bersatu padu, justeru dapat merebut segala peluang yang disediakan kerajaan demi mencapai kemajuan bersama,” katanya.

No comments:

Post a Comment