Friday, June 3, 2011

Pehin Sri : Kuasai ilmu kemahiran


by Adib Othman. Posted on June 3, 2011, Friday
Pendidikan pastikan Bidayuh tidak ketinggalan dalam kemajuan yang dibawa SCORE



SELAMAT HARI GAWAI: Taib melakukan upacara tradisional kaum Bidayuh sempena menyambut Hari Gawai di Kuching, malam kelmarin. Turut kelihatan ialah Manyin (kiri).
KUCHING: Masyarakat Bidayuh terutamanya golongan muda digesa lebih agresif dalam menguasai ilmu yang berteraskan kemahiran.
Menurut Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, ia adalah untuk memastikan masyarakat Bidayuh tidak ketinggalan dalam arus kemajuan yang dibawa oleh Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Justeru, beliau menggesa agar Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) menggunakan platformnya dalam mempromosikan agenda kerajaan itu di kalangan ahli-ahlinya serta masyarakat Bidayuh secara menyeluruh. “52 peratus tenaga kerja yang diperlukan SCORE menjelang 2030 merupakan pekerja mahir.
Jadi potensi yang ditawarkan SCORE sudah ada untuk menjadikan kita sebuah ekonomi berpendapatan tinggi. “Justeru, kita perlu mendorong anak-anak kita untuk mengambil kursus yang sesuai untuk permintaan SCORE dan bukan mengambil kursus yang akan lapuk dalam masa lima hingga sepuluh tahun yang akan datang.
“Oleh itu, saya berharap agar DBNA menggunakan platformnya untuk mendorong masyarakat Bidayuh untuk menguasai pendidikan yang berbentuk teknikal dengan lebih agresif supaya kaum Bidayuh tidak ketinggalan dalam arus SCORE,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Gawai (Pesta Birumuh) anjuran DBNA, di dewan serba guna DBNA yang baru, dekat sini, malam kelmarin.
Hadir sama adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin yang juga selaku penasihat DBNA, Pengerusi DBNA Datu Ik Pahon, Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit dan kenamaankenamaan lain.
Turut hadir ialah isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib.
Menurut Taib, beliau yakin bahawa masyarakat Bidayuh mampu sebaris dengan masyarakat lain di negeri ini untuk menikmati limpahan kekayaan SCORE yang boleh menjangkau sehingga lima kali ganda kekayaan negeri ketika ini.
Dalam pada itu, Taib turut menyeru agar masyarakat Bidayuh mengeratkan perpaduan dengan mencari satu titik yang boleh menyatukan pemimpin-pemimpin Bidayuh di negeri ini.
“Saya pernah berbincang dengan Datuk Amar Wilson Baya Dandot tentang bagaimana mencari ‘focal point’ untuk menyatukan semua pemimpin Bidayuh dalam menghasilkan pergerakan yang dinamik sekali gus mengeratkan perpaduan dan menjaga kepentingan golongan muda mahupun golongan tua,” jelasnya.
Dalam ucapan yang sama, Taib mengingatkan masyarakat Bidayuh untuk menolak ‘individualisme.’
“Kita perlu sedar bahawa ‘individualisme’ boleh menjejaskan segala usaha pemimpin terdahulu dalam menjadikan kaum Bidayuh sebuah kaum yang kuat.
“Oleh sebab itu, wujudkan acara-acara dengan lebih kerap agar dapat merapatkan hubungan di kalangan kaum Bidayuh,” katanya lanjut.
Sementara itu menurutnya juga, dalam mengejar kemajuan, sesebuah kaum tidak patut melupakan asal-usul serta kebudayaan masingmasing.
Baginya, sesebuah bangsa yang berjaya dan mempunyai kepimpinan yang baik adalah sebuah bangsa yang mampu mengekalkan warisan nenek moyang dan pada masa yang sama maju dalam menongkah arus pemodenan.
Oleh itu, beliau memuji kaum Bidayuh yang telah berjaya menempa banyak kejayaan namun tidak lupa dengan warisan nenek moyang mereka.

No comments:

Post a Comment