Friday, June 17, 2011

Wakil rakyat jujur hanya berjanji untuk perkara munasabah sahaja: Dennis Ngau



Posted on June 16, 2011, Thursday
MIRI: Seorang wakil rakyat yang jujur hanya akan berjanji ke atas perkara-perkara yang difikirkan rasional dan munasabah, bukannya bercakap kosong untuk menarik perhatian ramai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau Jok berkata, tindakan wakil rakyat yang menaburkan janji-janji kosong adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab ke atas penduduk di kawasannya.
“Kita (kerajaan) hanya akan berjanji terhadap sesuatu perkara jika kita fikir mampu laksanakan untuk rakyat,” katanya ketika majlis perasmian pembinaan jambatan kayu di Lio Mato, Ulu Baram pada Selasa lalu.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Kampung Belawan Lenjau, Pegawai Tadbir Majlis Daerah Marudi, Jeffrey Jalong dan Guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Lio Mato, Jack Sibang.
Menurutnya, bukanlah menjadi budaya Barisan Nasional (BN) untuk menipu rakyat dengan janji-janji manis yang ditaburkan lebih-lebih lagi ketika pilihan raya.
“Rakyat juga harus faham kerana ada antara projek yang boleh dilaksanakan dengan segera dan ada antaranya pula akan memakan masa lebih panjang sedikit,” ujarnya lagi.
Ini sebenarnya bergantung kepada lokasi dan juga saiz sesebuah projek yang akan dilaksanakan.
Pada masa sama, beliau menyeru penduduk di kawasan berkenaan untuk terus memberikan kerjasama kepada kerajaan pemerintah demi kesinambungan pembangunan.
“Anda beruntung kerana telah mendapat kemudahan seperti sekolah, klinik dan pusat perkhidmatan pertanian,” kata Dennis sambil mengatakan bahawa ia merupakan bukti kerajaan tidak akan muak membawa pembangunan ke kawasan pedalaman sejauh Lio Mato.
Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sejumlah RM5,000 yang diluluskan oleh Datuk Patinggi Tan Sr Alfred Jabu kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Lio Mato.
Sementara itu, jambatan yang dibina tersebut dianggarkan bernilai RM70,000 dan dijangka siap dalam tempoh masa tiga bulan.

No comments:

Post a Comment