Wednesday, February 2, 2011

Sarawak tarik pelabur Teluk - Pehin Sri

BPO 
Posted on February 1, 2011, Tuesday
ABU DHABI: Para pelabur Teluk perlu menimbang untuk melabur di hab halal dan industri berat Sarawak, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang sedang dalam misi di sini bagi mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pilihan para pelabur Timur Tengah. Kini, tahap pelaburan dari Timur Tengah tidak signifikan, katanya.

Taib yang mengetuai misi pelaburan 30 anggota ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE), berkata kini hanya terdapat satu pelaburan dari Timur Tengah, iaitu dalam sektor kelapa sawit di Sarawak.
“Kami berada dalam pelbagai peringkat perundingan dengan (para pelabur) Arab Saudi dan negara lain (di Timur Tengah) kerana kami ingin mengambil kesempatan daripada jaringan kewangan Islam di rantau ini,” katanya kepada media Malaysia di luar forum Invest Malaysia 2011 semalam, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sarawak sedang cuba menarik para pelabur bagi Hab Halal Tanjung Manis (TMHH), yang merupakan satu pembangunan bersepadu yang disifatkan sebagai salah satu inisiatif pembangunan terbesar di negeri ini.
Taib melahirkan harapan agar TMHH akan menarik lebih ramai pelabur Timur Tengah.
Semalam, TMHH menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) yang terdiri daripada pelaburan bernilai kira-kira RM650 juta.
MoU itu melibatkan Tanjung Manis Food and Industrial Park Sdn Bhd dan Perigon Advisory WLL, Borneo Agriculture yang berpangkalan di New York dan Focus International.
Invest Malaysia 2011 disertai oleh ratusan ahli perniagaan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang mewakili 200 syarikat swasta, syarikat dana kekayaan berdaulat serta agensi kerajaan.
Para peserta itu termasuk Mubadala Development Company, Aabar Investment, Al Ghurair Group, Abu Dhabi National Oil Corporation, Al Futtaim Group dan Emirates Aluminium Company. GCC dianggotai UAE, Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Bahrain dan Oman.
Misi pelaburan Sarawak itu adalah yang pertama di Timur Tengah yang menyasarkan untuk menarik para pelabur dari GCC.
Taib berkata konsep hab halal akan menjadi lebih menarik kepada masyarakat Islam di Eropah dan Amerika kerana ia menekankan mengenai makanan yang mematuhisyariah.
“Kami sedang mengusahakan penjenamaan bagi produk hab halal kami ke pasaran Eropah,” katanya.
Bagaimana pun, Taib berkata kini masih terlalu awal bagi menetapkan sasaran berkaitan pelaburan dari Timur Tengah.
Sungguhpun begitu, katanya maklum balas yang diterima membayangkan para pelabur Timur Tengah lebih menyedari mengenai peluang pelaburan di selatan Asia, khususnya Malaysia.
TMHH, satu projek di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) diilhamkan untuk memastikan Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2020, sambil bekerjasama seiring dengan wawasan dan sasaran Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara.
Sehingga kini, Kerajaan Negeri Sarawak telah melabur sehingga RM1.3 bilion di Tanjung Manis untuk membangunkan dan memodenkan infrastruktur jaringan awamnya, yang menarik kepada komuniti pelabur Timur Tengah.
Ia merupakan satu projek impak ekonomi yang tinggi bagi keselamatan makanan dan telah diberi sokongan penuh kerajaan negeri, yang menyifatkannya sebagai projek keutamaan.
Pada masa yang sama, ia akan menempatkan Sarawak sebagai salah satu destinasi halal paling menarik di dunia.
TMHH menjangka menerima pelaburan RM10 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang dalam pelbagai komponen seperti infrastruktur, pembangunan dan perniagaan industri daripada sektor swasta. — Bernama

1 comment:

  1. salam 1malaysia...
    harap dapat sama2 link blog kita! =)

    http://reformasin.blogspot.com/

    ReplyDelete