Tuesday, February 15, 2011

Pelan induk pembangunan Mukah, Tanjung Manis, Samalaju bermula 2012

BPO 
Posted on February 14, 2011, Monday
MUKAH: Pelaksanaan pelan induk untuk menambah baik pembangunan di Mukah, Tanjung Manis dan Samalaju akan bermula pada tahun depan, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Menurut beliau, pelan induk yang holistik itu akan memperkasakan lagi potensi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) selaku peneraju ekonomi bercorak baru negara.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina (TBC) di The Grand Kingwood Resorts, di sini petang semalam.
Taib memberitahu bahawa pelan induk itu perlu dilaksana untuk membolehkan rancangan pembangunan jangka panjang di Mukah, Tanjung Manis serta Samalaju berjalan lancar.
“Kerajaan tidak mahu melakukan pembangunan yang pada akhirnya menyulitkan generasi akan datang.
“Biarlah pembangunan itu bergerak perlahan tetapi tersusun. Kedai-kedai, jalan-jalan, kemudahan-kemudahan awam dan kawasan-kawasan perindustrian tidak berselerak.
“Perkara pokok dalam memastikan kejayaan pelaksanaaan pelan induk itu kelak ialah perpaduan penduduk.
“Tanpa mengira kaum serta agama, penduduk perlulah bekerjasama, tolong-menolong agar kita dapat merasa nikmat bawaan pembangunan tanpa ada yang tercicir,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian itu membayangkan Mukah, Tanjung Manis dan Samalaju bakal berubah wajah secara drastik ekoran kepesatan ekonomi pacuan SCORE.
“Sebuah bandar baru dibangunkan di Samalaju membabitkan tanah rizab seluas 10,000 ekar dengan sembilan pelabur akan memulakan industri berskala mega di sana.
“Pada 9 Februari lalu saya menyempurnakan pecah tanah tapak sebuah kilang yang menghasilkan polisilikon. Kilang itu dijangka siap tiga tahun dari sekarang.
“Lapan lagi kilang dijadual beroperasi di Samalaju menjelang 2014. Sebuah makmal penghasilan makanan menggunakan teknologi bio pula sedang dibina di Tanjung Manis melibatkan pelaburan sebanyak RM2 bilion.
“Sementara itu, Mukah akan menjadi ibu pejabat Perbadanan Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA),” jelasnya.
Justeru, beliau mengingatkan penduduk supaya sentiasa berfikiran besar untuk memperkukuhkan perpaduan berlandaskan semangat sama-sama dapat hidup senang sejajar kehadiran tahun arnab.
“Makna ‘Gong Xi Fa Cai’ harus diterjemahkan dengan lebih meluas. Pembangunan tidak mencapai objektif jika penduduk tempatan sekadar menjadi pemerhati kejayaan orang luar dek kurang pengetahuan serta kemahiran.
“Menyedari hakikat itu, saya menasihatkan ibu bapa agar memberikan pendidikan setinggi mungkin kepada anak-anak.
“Andai kurang menyerlah dalam bidang akademik, hantar mereka ke sekolah-sekolah vokasional untuk mendapat latihan kemahiran,” tambahnya.
Hadir sama, isteri beliau Puan Sri Ragad Waleed Alkurdi Taib, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah, Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad dan ADUN Jemoreng merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie.
Residen Mukah Saudi Narani, Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (MAIS) Datu Dr Adi Badiozaman Tuah serta Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Mukah Yeo Tiong Ing turut hadir dalam majlis itu.

No comments:

Post a Comment