Tuesday, February 22, 2011

Jangan bohongi rakyat untuk berkuasa: Pehin Sri

BPO

MUKAH: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengingatkan pihak pembangkang yang kemaruk untuk berkuasa agar tidak membohongi rakyat. Jelasnya, pengalaman selama 30 tahun menduduki kerusi Ketua Menteri menjadikan beliau cukup matang untuk mengetahui sesiapa yang berbohong.
“Saya klasifikasikan bohong kepada tiga jenis. Ada bohong bergurau. Ada yang berbohong untuk mendapat perhatian. Bohong ketiga paling bahaya iaitu bertujuan memecahbelahkan rakyat.
“Pembangkang memang banyak berbohong kepada rakyat. Janji itu ini, konon kalau berkuasa akan menabur duit. Bukan mudah, sedangkan kerajaan tidak dapat melakukan sebegitu. Apa lagi mereka,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau mengakui memang ada memikirkan untuk bersara, namun tidak akan berbuat demikian sehingga pemimpin pelapis yang beliau asuh bersedia.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian itu, perasaan sayangkan rakyat menyebabkan beliau sanggup mengorbankan kepentingan peribadi dan masa berharga bersama keluarga.
“Tidak dinafikan saya akui ada terfikir untuk bersara agar dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga, bermain dengan cucu serta berehat di rumah. Bagaimanapun, saya menyedari ada tugas yang belum selesai.
“Amanah yang diberikan rakyat perlu saya pikul. Saya sayangkan rakyat yang sentiasa bersama saya semasa susah mahupun senang,” ujarnya bersemangat.
Taib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian menyatakan demikian semasa berucap dalam ‘Program Berambeh Jegem Ketua Menteri’ di Dewan Integrasi Kampung Jebungan, di sini semalam.
Menyentuh mengenai generasi pelapis, beliau memberitahu bahawa terdapat beberapa pemimpin muda yang diasuh untuk meneruskan legasi pembangunan negeri ini.
Selain itu, beliau meminta rakyat agar menjadikan tanah sebagai harta warisan yang perlu ditadbir dengan bijaksana dan berhemah.
“Tanah kita, warisan kita. Tanah merupakan aset bernilai. Jangan terlalu cepat terpesona dengan tawaran lumayan untuk menjual tanah. Jangan jual tanah jika tiada keperluan yang benar-benar mendesak.
“Segala pembangunan yang dinikmati sekarang jauh daripada mimpi kita sebelum ini. Tidak pernah termimpi bahagian Mukah akan membangun seperti sekarang,” tambahnya.
Hadir sama, isteri beliau Puan Sri Ragad Waleed Alkurdi, Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad, Pengarah Urusan Kumpulan Parabena Sdn Bhd Datuk Raziah Mahmud dan Residen Mukah Saudi Narani.
Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah Unus Tambi, Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah Dr Osman Rafaie, Pegawai Daerah Mukah Mohamad Nawawi serta Penghulu Nikie Kadim turut hadir.

No comments:

Post a Comment