Tuesday, February 8, 2011

Parti Presiden Hosni dakwa Barat khianati Mesir


February 04, 2011
KAHERAH, 4 Feb — Parti Demokratik Nasional (NDP) Mesir, yang diketuai Presiden Hosni Mubarak, mendakwa Barat yang diletakkan kepercayaan selama ini telah mengkhianati negara itu, antara sekutu rapat Amerika Syarikat (AS).
Hosni, 82, kini berhadapan dengan kebangkitan rakyat yang masuk hari ke-11 hari ini dan juga tekanan pentadbiran Obama dan beberapa negara lain supaya berundur segera.
Beribu-ribu penunjuk perasaan anti-Hosni sedang berhimpun di Dataran Tahrir di sini pada perhimpunan yang dikenali sebagai “Jumaat, Hari Berundur”.
Mereka mahu menuju ke istana presiden.
Dalam temu bual dengan BBC sebentar tadi, Setiausaha NDP Dr. Mohamed Kamal berkata, kuasa Barat telah mengkhianati negara 80 juta penduduk itu.
“Ya, Barat telah mengkhianati Mesir,” kata beliau dalam temu bual bersama BBC hari ini menjawab soalan tekanan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Barat supaya meletakkan jawatan dengan segera.
Malah Mohamed juga menegaskan, Hosni tidak akan tunduk kepada desakan agar meletakkan jawatan dalam waktu segera.
“Saya tidak percaya beliau akan menerima (tekanan) supaya meninggalkan negara dalam keadaan sukar yang dilalui sekarang.
“Beliau (Hosni) seorang pejuang, saya tidak percaya majoriti rakyat melihat sebab untuk (beliau berundur),” kata Mohamed sambil berkata majoriti penduduk yang menyokong kerajaan mengambil sikap diam diri dan ada kemungkinan mereka juga akan keluar ke jalan-jalan untuk berhadapan dengan puak anti-Hosni.
Mohamed mendakwa media Barat cuba membawa satu gambaran yang hodoh mengenai Mesir dan oleh itu NDP mahu mereka meminta maaf kepada keseluruhan rakyat Mesir.
Awal minggu ini Hosni yang mengetuai Mesir sejak 1981 berkata, beliau hanya akan melepaskan jawatannya September ini apabila pemilihan presiden diadakan dan tidak mahu bertanding buat penggal keenam.
Semalam, Hosni memberitahu dunia bahawa beliau sudah bosan memegang jawatan presiden dan mahu berundur sekarang tetapi bimbang keadaan akan huru-hara jika berbuat demikian sekarang.
White House dan pegawai-pegawai kerajaan Mesir juga sedang mengadakan perbincangan merancang pelan peralihan kuasa.

No comments:

Post a Comment