Tuesday, February 15, 2011

Pemimpin masyarakat perlu bijak manipulasi pembangunan : Pehin Sri

BPO


GONG XI FA CHAI: TYT dan isteri (tengah) serta Taib dan Ragad (dua kanan) memotong kek Tahun Baru Cina sambil disaksikan tetamu lain.
Posted on February 15, 2011, Tuesday
SIBU: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyarankan agar wakil rakyat dan pemimpin masyarakat di Sibu bijak memanipulasi pembangunan sedia bagi tujuan melonjakkan ekonomi dan aktiviti pembangunan di sini.
Katanya, wakil rakyat serta pemimpin di sini juga harus membuka ruang bagi menjalinkan kerjasama dengan  pemimpin lain di serata negeri dalam usaha mencanang lebih banyak aktiviti pembangunan.
“Sekarang zaman telah berubah dan rakyat serta pemimpin mereka tidak boleh terlalu mengharap apa yang diusaha kerajaan.
“Sebaliknya mereka (rakyat) perlu peka dan fokus untuk membangunkan taraf hidup dan sosioekonomi diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra sempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Persatuan Cina (UCA) di sebuah hotel terkemuka di sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Norkiah serta isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi Taib.
Menurut Taib, selain industi pembalakan, Sibu yang sangat popular dalam industri berkenaan pada tahun 1960-an dan 1970-an, turut memiliki potensi lain dalam mengembang aktiviti ekonominya.
Ini termasuk industri perkapalan yang dilihat mampu menjana pendapatan sehingga jutaan ringgit.
“Mungkin pada hari ini kita hanya mampu bina kapal-kapal bagi muatan kecil sahaja dan tidak mustahil orang Sibu mampu menghasilkan kapal yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya.
Selain itu ujar beliau, pembangunan Tanjung Manis sebagai hab halal turut membawa potensi besar kepada rakyat di Sibu.
Bagi menjayakan projek hab halal Tanjung Manis ujar beliau, seseorang itu tidak perlu menjadi Muslim dalam mengetengahkan makanan halal.
Katanya, kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk rakyat dan kini terpulang kepada rakyat sendiri memanipulasikannya untuk mendapatkan manfaat daripada apa yang telah diusahakan.
Jelas beliau, segala keperluan rakyat sentiasa diutamakan oleh kerajaan, apatah lagi negara kini sedang mengorak langkah mengejar status negara maju.
“Apa yang saya ucapkan ini memang kenyataan… dan Sibu harus membangun. Untuk membangun, rakyat Sibu harus mengekalkan status politiknya dalam keadaan terbaik dan terus bersatu padu. Jika tidak, Sibu tidak akan ke mana atau terus ketinggalan begitu sahaja,” tambah beliau.

No comments:

Post a Comment