Thursday, April 28, 2011

Khairy, Gan jangan menyibuk terhadap kepimpinan di Sarawak - Peter Minos





 
Posted on April 27, 2011, Wednesday

KUCHING: Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden MCA Senator Gan Ping Sieu diingatkan supaya tidak menyibuk terhadap kepimpinan di Sarawak.
Timbalan Ketua Publisiti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Peter Minos berkata dua individu berkenaan tidak layak untuk bersuara kepada rakyat Sarawak.
Tambahan lagi, katanya tindakan Khairy dan Gan mendesak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meletak jawatan sebagai Ketua Menteri adalah mencabar keputusan PBB.
“Saya terkilan Khairy dan Gan mendesak ‘bos’ kami… Taib ialah presiden yang dilantik oleh parti (PBB).
“Mereka sepatutnya tidak mendesak beliau, saya percaya rakyat Sarawak juga tidak berpuas hati,” katanya yang ditemui malam kelmarin.
Minos menjelaskan, Khairy dan Gan seharusnya memikirkan pertukaran kepimpinan atasan memerlukan perancangan rapi dan berdasarkan keperluan.
“Kalau beliau mahu bersara itu terpulang kepadanya (Taib), jangan mendesak beliau.
“Anda (Khairy dan Gan) seakan kebudakan-budakan yang mengarahkan rakyat Sarawak melakukan sesuatu… adalah lebih baik anda menutup mulut,” katanya.
Katanya, ketika MCA berdepan isu skandal seks melibatkan Presidennya Datuk Seri Chua Soi Lek dan juga isu kewangan dalam UMNO dahulu, pihak PBB khasnya tidak pernah memberi desakan untuk pertukaran kepimpinan dalam parti mereka.
Ujarnya, berdasarkan semangat dalam Barisan Nasional (BN), para ahli tidak sewajarnya melakukan tindakan sedemikian.
“Sudah pasti kita menjangkakan desakan daripada pihak pembangkang, tetapi bukannya dalam BN sendiri.
“Kita dalam PBB amat berdisiplin, apabila anda menyerang ‘bos’ kami itu bermakna anda juga menyerang kami… maka kami perlu mempertahankan,” kata Minos.

borneo post

Last week YB Datuk Fadilah Yusof stated that Khairy Jamaludin's statement was personal and need not be rebuked.

No comments:

Post a Comment