Posted on April 18, 2011, Monday
Calon kitar semula, tua punca kekalahan teruk parti iniKUCHING: Calon kitar semula dan tua melawan calon yang muda dan dinamik menjadi penyebab kekalahan teruk Parti Rakyat Bersatu (SUPP) di kebanyakan kerusi yang ditandinginya.
Penganalisis politik dan Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Jeniri Amir berkata sentimen pengundi di kawasan bandar sekarang beralih kepada perwakilan yang lebih relevan.
“Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) sudah mengumumkan supaya tidak meletakkan calon yang lama tetapi SUPP masih juga melakukannya,” kata Jeniri yang dihubungi oleh The Borneo Post semalam.
Perkara ini menurut beliau adalah salah satu kesilapan yang dibuat oleh pihak parti terutamanya apabila meletakkan Datuk Alfred Yap yang tewas dengan majoriti 4,824 undi berbanding hanya 531 undi pada pilihan raya negeri 2006.
Ditanya adakah kaedah kempen yang digunakan oleh calon bagi kerusi DUN Pending Prof Dr Sim Kui Hian adalah satu strategi kempen yang kreatif, Dr Jeniri memberitahu ia bukan isu utama meskipun Dr Sim layak mewakili rakyat di kawasan tersebut.
“Beliau masih kalah sebab sentimen kebanyakan pengundi Cina di Pending adalah ke arah isu yang lebih besar dan saya amat percaya ia ada kaitan dengan parti itu sendiri dan kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.
Mengenai kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan majoriti dua pertiga, Jeniri berkata politik pembangunan yang didukung oleh Taib masih sangat relevan di negeri ini.
“Pengundi luar bandar percaya kepada politik bagi memenuhi keperluan asas, BN menang kerana mereka tahu pola pengundi di negeri ini,” katanya dengan menambah isu pembangunan masih diguna pakai oleh kebanyakan pengundi.
“Pengundi bandar sebaliknya beralih kepada politik idealisme.
“Mereka percaya kepada pandangan umum mengenai pentadbiran baik dan kepimpinan bersih dan saya amat percaya pengundi di kawasan bandar terutamanya generasi muda memiliki sentimen kuat mengenai perkara ini.
“Ini dapat dilihat dengan jelas kerana kebanyakan kerusi di bandar dimenangi oleh Pakatan Rakyat dan ini adalah sentimen kuat yang perlu ditangani dengan segera,” katanya.
Menjelang tempoh luput penggal parlimen pada 2013, Jeniri menyatakan sekurang-kurangnya enam kerusi bandar menjadi taruhan bagi perikatan pemerintah.
“Bagi menangani isu ini, peralihan kuasa perlu dilaksanakan dengan segera.
“Menurut pandangan saya, momentum ini akan diteruskan dan saya percaya pola undian tidak akan banyak berubah,” katanya.
No comments:
Post a Comment