Monday, April 25, 2011

Abdul Karim Hamzah : SNAP akan jadi kuli jika setuju bergabung dengan DAP

Posted on April 23, 2011, Saturday
KUCHING: SNAP akan menjadi kuli jika parti yang dahulunya pernah menjadi ahli komponen BN Sarawak itu, setuju bergabung dengan DAP seperti yang dicadangkan oleh Lim Kit Siang.
Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia merupakan usaha DAP menangkis pandangan ramai yang mengatakan ia bukan parti Cina apabila bergabung dengan SNAP yang kebanyakan ahlinya adalah Bumiputera.
“Ia hanya perkahwinan untuk kepentingan DAP,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas mengenai ilham Kit Siang, penasihat DAP, untuk bergabung dengan SNAP, baru-baru ini.
Menurut Abdul Karim, penggabungan dua parti itu akan memudahkan DAP menyerap masuk ke kawasan luar bandar Sarawak untuk memenangi kerusi pilihan raya pada masa depan.
Ia merupakan satu usaha yang tak mungkin akan dapat DAP lakukan sekarang.
“Saya percaya pemimpin SNAP tidak akan mahu diperkudakan oleh DAP sebegitu rupa,” katanya.

Malah, Abdul Karim yang juga ADUN Asajaya mencabar DAP agar melantik Ketua PKR Sarawak Baru Bian sebagai ketua pembangkang.
“Sebelum ini mereka telah sanggup menerima beliau (Baru) untuk menjadi ketua menteri sekiranya pakatan menang dalam pilihan raya negeri baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, ada pihak memberi pandangan gabungan SNAP dan DAP akan membentuk satu parti pembangkang kuat di Sarawak dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi bagi Presiden SNAP Edwin Dundang Bugak ilham Kit Siang perlu dikaji secara mendalam.
Menurut Edwin yang mengetuai parti gagal meraih kemenangan sebarang kerusi pada pilihan raya negeri baru-baru ini, keputusan mustahak seumpama itu tidak boleh dilakukan dengan berkata, “ya, SNAP setuju”.
“Ada yang mengatakan gabungan (SNAP dan DAP) akan menjadi sebuah parti baik dan ada yang berpendapat sangat baik.
“Walau apa pun pendapat mereka, keputusan berhubung perkara penting sebegini perlu dikaji secara mendalam,” katanya.
Kit Siang baru-baru ini mencadangkan gabungan antara dua entiti tersebut bagi membangkitkan kekuatan politik Dayak berikutan pilihan raya negeri Sabtu lepas.
Sebelum pilihan raya negeri, SNAP menyatakan sokongan kepada pakatan pembangkang, bagaimanapun mengambil tindakan bercanggah dengannya apabila meletakkan calon mereka di kerusi ditandingi PKR.
Mengenai perbincangan rasmi dengan Kit Siang berhubung perkara tersebut, Edwin memberitahu, kedua-dua pihak belum pernah berjumpa untuk berbincang.
“Saya dapat tahu cadangan bergabung ini cuma menerusi media massa, tidak pernah berhubung terus dengan Kit Siang mengenai hal ini,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipetik menerusi sebuah portal berita berkata, beliau yakin SNAP dan DAP tidak akan bergabung.
Katanya, ia berikutan dua entiti tersebut mempunyai ideologi politik berbeza.
“Saya tidak nampak bagaimana SNAP boleh menerima DAP. Saya tidak nampak. Ideologi mereka berbeza,” katanya.

1 comment:

  1. Ada orang lebe suka jadi Ku~li,

    Dari jadi Bar~ua.

    Manusia tur kan mcm 2x perangai nya.

    Ada pompan Muda,suka kawin dgn org.Tua.

    Biarkan lah dia.,

    Bukan ada jenayah yg.di lakukan nya.

    Susah 2x pasal apa.

    ReplyDelete