Monday, February 18, 2013

Rakyat perlu teguh di belakang BN - YB Datuk Seri Muhammad Ali Mahmud

CARING: Ali (third left) presenting a voucher to a recipient. Ainnie is at second left.

by Rusnan Mustafa. Borneo Posted on February 17, 2013, Sunday

KOTA SAMARAHAN: Penduduk di Parlimen Samarahan diseru berdiri teguh di belakang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato Sri Mohammad Ali Mahmud berkata, penduduk di situ perlu memberi sokongan padu kepada pucuk pimpinan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan agenda murni kerajaan dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Kita semua sedia maklum PRU13 tidak lama lagi jadi sama-samalah kita memberi sokongan yang padu ke atas kepimpinan kerajaan yang sedia ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 kepada 836 penerima terdiri golongan bujang di Dewan Suarah Kota Samarahan semalam.
“Jika kepercayaan dan mandat terus diberikan kepada kerajaan BN, saya percaya BR1M 3.0 dan BR1M 4.0 akan diteruskan seperti mana yang telah diumumkan PM baru-baru ini,” tambahnya.
Malah, Mohammad Ali memberitahu bantuan itu dapat meringankan beban kepada kira-kira 2.7 juta belia bujang berumur 21 ke atas di seluruh negara yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM2,000.
“Bagi fasa pertama untuk Daerah Samarahan sahaja, seramai 4,475 belia bujang menerima BR1M 2.0 ini,” katanya sambil menambah pelbagai jenis bantuan telah diperkenalkan oleh kerajaan BN untuk meringankan beban rakyat antaranya Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M), bantuan pelajar sekolah dan universiti dan banyak lagi.
Justeru, beliau menegaskan segala bantuan itu dapat diteruskan jika rakyat memberi mandat kepada kerajaan BN untuk memerintah semula selepas PRU13 kelak.
Sementara itu, menyentuh mengenai seminar kesihatan khas kepada golongan belia bujang yang dijalankan sebelum pengagihan BR1M 2.0 itu, Mohammad Ali berkata, penganjuran seminar itu disambut baik bagi memberi ilmu pengetahuan kepada para belia.
“Penyertaan Jabatan Kesihatan dalam program hari ini (semalam) memberi kesan positif terutamanya berkaitan penyakit jangkitan kelamin di kalangan belia yang amat membimbangkan kita semua.
“Seminar sebegini dapat memberi kesedaran dan dilihat langkah terbaik mengurangkan gejala masalah sosial di kawasan ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agensi, jabatan mahupun pertubuhan kerajaan lain di situ mengambil inisiatif yang sama untuk bersama-sama memerangi masalah sosial di kawasan berkenaan.
“Tugas ini adalah tanggungjawab kita bersama agar masalah sosial yang membelenggu belia pada masa kini dapat dikurangkan sekali gus dibendung,” ujarnya.
Hadir sama Pegawai Daerah Samarahan Mohd Ainnie Wahab, Pegawai Kesihatan Bahagian Samarahan Dr Julaidah Sharif, Temenggung Chek Bujang dan tetamu kehormat lain.

No comments:

Post a Comment