Tuesday, July 12, 2011

Rakyat harus menolak politik jalanan, kata Dr Jerip

 
Posted on July 11, 2011, Monday
KUCHING: Rakyat pelbagai kaum di negeri ini diingatkan agar menolak dengan sekeras-kerasnya politik jalanan yang suka mengadakan demonstrasi jalanan bagi menegakkan demokrasi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh Dr Jerip Susil berkata politik jalanan yang dilakukan oleh pihak pembangkang dengan mengadakan demonstrasi dan perhimpunan haram adalah bertentangan dengan undang-undang negara.
“Kita mempunyai saluran yang betul untuk meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap kerajaan atau sebagainya namun perlu mengikut landasan yang betul.
“Rakyat sememangnya tidak harus mengikut jejak kumpulan-kumpulan tertentu yang sengaja mahu memecah-belahkan perpaduan kita,” katanya.
Berucap pada majlis menutup Gawai bagi DUN Muara Tuang di sini malam kelmarin (Sabtu), Dr Jerip yang mewakili Menteri Muda Bekalan Air Sylvester Entrie Muran mengingatkan rakyat agar terus memberi sokongan padu kepada kerajaan.
Hadir sama ADUN Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud, bekas ADUN Nangka Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Setiausaha Politik Ketua Menteri Awangku Jamudin Pengiran Kon dan Residen Bahagian Samarahan Rodziah Morsidi.
Dr Jerip berkata dalam negara dan negeri kita yang aman damai seperti ini, semua aktiviti dan program kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan dengan mendapat kerjasama semua pihak.
“Justeru, saya berharap kita semua yang berbilang kaum di negeri ini dapat mengekalkan keamanan dan perpaduan yang sentiasa terjalin bagi meneruskan perjuangan pembangunan negeri ini,” katanya.
Terdahulu, Mohammad Ali juga mengingatkan rakyat khususnya penduduk di kawasan beliau (Muara Tuang) agar sentiasa bersatu padu untuk meneruskan pembangunan di kawasan terbabit.
Katanya, kawasan Muara Tuang telah menyaksikan pertumbuhan pembangunan yang begitu pesat hasil kerjasama penduduk dan perpaduan kukuh di bawah teraju kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya berharap perpaduan dan kerjasama kukuh penduduk pelbagai kaum dapat dipertingkatkan, justeru kerajaan akan terus melaksanakan segala program pembangunan untuk rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment