Posted on July 2, 2011, Saturday
MIRI: Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Sarawak (SBEU) membantah kemungkinan penggabungan RHB Bank dengan salah sebuah bank lain di negara ini.Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini membuat kelulusan pihak yang berpotensi untuk mengambil alih RHB Bank, sama ada CIMB Bank atau Maybank.
“Kita meminta supaya BNM tidak terlalu mendesak atas hal ambil alih RHB sama ada oleh Maybank atau CIMB,” kata Ketua Eksekutif SBEU, Andrew Lo Kian Nyan melalui kenyataan medianya selepas bermesyuarat di Pustaka Miri, kelmarin.
Menurutnya, setelah analisis dan kajian terperinci, SBEU percaya bahawa cadangan berkenaan bukan jalan terbaik untuk pemegang saham dan komuniti berdasarkan beberapa faktor.
Beliau pada masa sama turut mencadangkan kerajaan menubuhkan satu badan pemantau khas dan jawatankuasa untuk mengkaji tentang kesan penggabungan. Ini bagi memastikan ia tidak membebankan pengguna dan ekonomi dalam skala yang besar, katanya.
“Kita minta Perdana Menteri (PM) untuk tidak memaksa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melepaskan RHB kerana ia merupakan penyumbang dalam jangka masa panjang,” jelasnya.
SBEU turut menasihatkan supaya pengguna, kumpulan perniagaan dan ahli-ahli KWSP agar meminta PM mengarahkan BNM menyemak semula keputusan berhubung penggabungan berkenaan.
Walaupun baru-baru ini media melaporkan bahawa CIMB telah melupakan hasrat penggabungan, namun Maybank tidak berkata apa-apa dan ia menimbulkan keraguan tentang masih wujudnya hasrat tersebut.
“Perkara ini terjadi sebelum ini dalam kes penggabungan Hong Leong Bank dan EON Bank di mana perbincangan masih berlaku dengan senyap walaupun pada mulanya menunjukkan tidak ada minat,” tambah Setiausaha Agung SBEU, Peter Ling Tiong Ho.
Menurutnya, SBEU sangat bimbang terhadap penggabungan tersebut, namun pada masa sama mahu ahlinya bersedia supaya tidak terkejut dengan kemungkinan perubahan secara tiba-tiba.
No comments:
Post a Comment