Monday, July 11, 2011

Keadaan di Kuching terkawal


by Jeremy lanson. Posted on July 11, 2011, Monday
TAHNIAH: Mun (kanan) menyampaikan hadiah kepada Wakil SMK Petra Jaya yang telah dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Kawat Kaki Pasukan Kor Kadet Polis Peringkat Daerah Kuching.Tiada insiden yang tidak diingini berlaku berikutan penganjuran perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lepas
KUCHING: Tiada insiden yang tidak diingini berlaku di seluruh bandar raya Kuching Sabtu lepas berikutan rancangan penganjuran perhimpunan BERSIH 2.0 pada hari tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mun Kok Keong berkata situasi di seluruh bandar raya Kuching adalah terkawal dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.
“Semuanya berjalan seperti biasa, cuma ada sebuah parti politik yang mengadakan lawatan di konstituensi mereka dan mengadakan sesi pendaftaran pengundi.
“Keadaan di sini adalah berbeza seperti apa yang berlaku di Kuala Lumpur dan saya berharap agar rakyat sedar daripada apa yang telah berlaku di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Pertandingan Kawat Kaki Pasukan Kor Kadet Polis Peringkat Daerah Kuching di sini semalam.
Menurut beliau, orang ramai sentiasa dinasihati agar memastikan setiap perhimpunan atau acara yang disertai mempunyai permit kebenaran daripada pihak berkuasa.
“Sentiasa memeriksa kepada pihak berkuasa terlebih dahulu mengenai apa sahaja aktiviti atau perhimpunan yang hendak disertai bagi memastikan ia mempunyai permit kebenaran yang sah.
“Jika tidak, orang ramai mungkin boleh menjadi mangsa akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab pihak pengangjur ini,” katanya.
Bagaimanapun beliau juga menyifatkan penduduk di bandar raya Kuching khususnya amat matang dan faham akan peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Jelas menunjukkan penduduk di seluruh Kuching berfikiran matang dan mereka faham akan perhimpunan BERSIH itu adalah menyalahi undang-undang,” katanya.

No comments:

Post a Comment