Sunday, February 26, 2012

PKR mahu Sarawak diperintah dari luar dan oleh orang luar


Sarawak tidak semestinya diperintah parti Sarawak

Borneo Post January 13, 2012, Friday
SIBU: Setiausaha PKR Cawangan Kanowit Thomas Laja berkata, tiada siapa berhak mengatakan bahawa Sarawak harus diperintah hanya oleh parti politik dari Sarawak.
Beliau berkata, ini adalah satu kenyataan yang sensitif dan sesiapa yang membuat kenyataan itu tidak akan mengambil kira kepentingan rakyat Sarawak.
“Ia adalah terpulang kepada rakyat Sarawak untuk memilih dan membuat keputusan terbaik, sama ada mahu atau tidak Sarawak ditadbir oleh parti-parti berpangkalan dari Sarawak,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sini  semalam.
Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut termasuk Pengerusi PKR Lanang George Chen dan Setiausahanya Lim Chin Hin.
Thomas berkata demikian bagi merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PRS Tan Sri James Masing baru-baru ini, menyatakan Sarawak adalah sebaiknya ditadbir oleh parti-parti politik yang berpangkalan di Sarawak.
Seperti sekarang, Sarawak diperintah oleh Barisan Nasional (BN) dan empat parti komponen iaitu PBB, SUPP, PRS dan SPDP.
Masing juga menyebut bahawa Pakatan Rakat (PR) bebas untuk menyebarkan ideologi mereka di Sarawak tetapi pada hakikatnya, rakyat Sarawak mesti sedar bahawa semua tiga parti komponen daripada PR yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS adalah parti berpangkalan di Semenanjung Malaysia dan tidak mempunyai kepentingan di hati penduduk tempatan.
Dengan membuat kenyataan itu, Thomas berkata, perasaan hormat terhadap menteri berkenaan kini semakin luntur.
“Ya, memang orang menghormati beliau tetapi beliau perlu tahu apa yang beliau maksudkan dan dengan membuat satu kenyataan yang sensitif, ia menunjukkan belang sebenarnya,” katanya.
Thomas berkata, Sabah pernah ditadbir oleh orang Sabah tetapi sejarah telah mengalami perubahan dan kini, UMNO, sebagai parti yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia mentadbir negeri Di Bawah Bayu itu.
“Jadi, apa yang beliau boleh katakan tentang parti berpangkalan dari Semenanjung Malaysia yang kini memerintah negeri Sabah?” ujarnya.
Thomas berkata kenyataan Masing juga sangat ketara bercanggah dengan dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.
“Di Malaysia, mana-mana parti politik boleh memerintah mana-mana negeri selagi parti itu mampu mendapat sokongan rakyat,” katanya.
Thomas berkata, salah satu daripada sebab-sebab yang jelas mengapa Sarawak perlu menyokong gabungan PR adalah disebabkan ketidakupayaan parti-parti di Sarawak untuk menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi rakyat.
Beliau memberitahu bahawa projek pembinaan jalan yang menghubungkan Sibu ke Kapit merupakan contoh terbaik.
“Upacara pecah tanah telah diadakan di Kanowit pada1998 tetapi sehingga kini, tiada tanda dan tiada cadangan apa-apa menyatakan bahawa jalan tersebut dalam pembinaan,” katanya.
Thomas mendakwa pemimpin-pemimpin BN hanya dapat menyampaikan janji-janji kosong tetapi tiada tindakan diambil.
“Oleh kerana mereka tidak berupaya untuk membawa pembangunan ke Sarawak, berilah peluang kepada PR untuk membawa perubahan dan pembangunan kepada negeri ini,” tambahnya.

2 comments:

  1. Mana-mana pihak yang berhasrat hendak memerintah Malaysia hendaklah menghayati sejarah tanah air dan seterusnya mendaulatkan perlembagaan Malaysia termasuk perkara 152 dan bersandarkan Rukun Negara, jelas wawasan negara, khususnya hala tuju untuk menjadikan Malaysia, negara maju berkelas dunia pertama. Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil, pemimpinnya bermaruah dan bijaksana dalam setiap tindakan serta tidak mengutamakan kepentingan peribadi.

    ReplyDelete