Saturday, July 31, 2010

PKFZ: Ada lagi VIP didakwa?




KUALA LUMPUR 30 Julai - Mungkinkah ada lagi 'jerung ' yang akan dihadapkan ke mahkamah berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), selepas bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik didakwa semalam?

Jawapannya ada! Selepas lima individu termasuk Liong Sik dihadapkan ke mahkamah berhubung skandal ini, beberapa lagi orang kenamaan (VIP) dijangka diheret ke mahkamah atas kes yang sama.

Menurut sumber, beberapa nama VIP yang masih dan pernah memegang jawatan penting hanya menunggu masa untuk didakwa berhubung skandal yang sama.

Bagaimanapun, keputusan untuk mendakwa individu terbabit di mahkamah hanya akan ditentukan oleh pihak Peguam Negara.

"Selepas Liong Sik, ada lagi ahli politik atau bekas ahli politik yang akan diheret ke mahkamah berhubung skandal ini.

"Apa pun, biar pihak Peguam Negara yang tentukan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhir tahun lalu, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka Oi Choo Phang dan tiga lagi didakwa melakukan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu.

Projek PKFZ, yang dibina di kawasan seluas 405 hektar di Pulau Indah dekat Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, sebagai hab penghantaran kargo bersepadu menimbulkan kontroversi apabila kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion.

Ia mengandungi 256 hektar kawasan terbuka untuk kilang/gudang, 512 lot perindustrian ringan dan 500,000 kaki persegi ruang pejabat untuk sewaan, 135-bilik hotel dan sebuah pusat pameran.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat projek itu mencadangkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy dan Phang kerana pecah amanah.

Selain Phang, tiga lagi yang didakwa ialah Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB), Stephen Abok, 51; Seng Swee, 48, dari syarikat perunding BTA Architect serta bekas pengurus projek syarikat kontraktor pembangunan PKFZ, Law Jenn Dong, 51.

No comments:

Post a Comment