Saturday, July 31, 2010

Kes Liong Sik bukti sistem undang-undang di Malaysia telus



KUALA LUMPUR 30 Julai - Tindakan pihak berkuasa mendakwa bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membuktikan sistem perundangan negara ini tidak mengenal pangkat serta kedudukan seseorang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fakta itu sekali gus menolak dakwaan pihak pembangkang khususnya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa perundangan Malaysia tidak adil dan berat sebelah.

Beliau berkata, selama ini telah menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menyebelahi mana-mana pihak yang didakwa melakukan kesalahan sebaliknya pihak berkenaan akan dibawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan secara adil, telus dan saksama.

"Saya akui agak terperanjat apabila mendengar berita ini tetapi saya juga percaya apabila sampai satu peringkat pihak berkuasa harus mengambil tindakan-tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat dengan dakwaan seperti ini.

"Oleh itu kita harus menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sepatutnya dan sistem perundangan negara kita sudah tentu akan berlaku adil kepada pihak terbabit,'' katanya selepas meraikan kejayaan kontinjen Malaysia yang menyertai Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN kedua di Sekolah Sukan Bukit Jalil di sini.

Akhbar hari ini melaporkan Liong Sik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Putrajaya atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion, hampir lapan tahun lalu.

Bekas Presiden MCA itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas satu tuduhan utama dan satu tuduhan pilihan - menipu Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan terhadap pembelian tanah di Pulau Indah bagi projek PKFZ (dahulu dikenali sebagai Mega Distribution Hub).


utusan malaysia 31/7/2010

No comments:

Post a Comment