Saturday, July 31, 2010

92% pelajar Cina dapat tempat



KOTA BHARU 30 Julai - Seramai 92 peratus pelajar Cina yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun ini mendapat tempat di universiti tempatan.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen (gambar) berkata, ini membuktikan bahawa perjuangan parti tersebut dalam Barisan Nasional (BN) untuk pendidikan pelajar Cina berjaya.

Beliau berkata, jumlah tersebut lebih tinggi berbanding tahun lepas di mana hanya 80 peratus pelajar cemerlang daripada kaum itu mendapat tempat di universiti tempatan untuk kursus-kursus popular.

"Kita telah membuktikan apa yang kita buat dalam diam, kita telah memperjuangkan hak pelajar-pelajar kita berbanding pembangkang yang hanya bising tetapi tidak buat apa-apa.

"Sebahagian pelajar yang berprestasi ini juga berjaya mendapat kursus-kursus yang popular," katanya kepada pemberita pada perasmian Mesyuarat Agung MCA Kelantan di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek. Turut Hadir, Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Ketua Pemuda MCA, Dr. Wee Ka Siong.

Yen Yen yang juga Menteri Pelancongan berkata, kejayaan pelajar tersebut telah berjaya menyelesaikan masalah golongan tersebut yang sering dibangkitkan pada setiap tahun.

"Selama 53 tahun ini, usaha MCA untuk membangunkan negara adalah jelas dapat dilihat, kami terus menghasilkan prestasi yang belum pernah terjadi sebelum ini.

"Baik dalam masalah-masalah ekonomi, membanteras kemiskinan dan biasiswa kerajaan serta masalah etnik Cina di universiti," katanya yang juga Pengerusi MCA Kelantan.

Tambahnya, MCA telah memberikan yang terbaik dalam memperjuangkan hak etnik Cina dan ia tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

No comments:

Post a Comment