Saturday, July 31, 2010

Jangan terperangkap sandiwara Tony Pua







KUALA LUMPUR 30 Julai - Seorang penganalisis politik hari ini menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua membangkitkan isu pemansuhan diskaun kepada bumiputera sebagai satu helah bagi menarik perhatian pengundi.

Oleh itu, penganalisis politik tersebut, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan menasihati ahli-ahli politik, terutamanya daripada UMNO, supaya berhati-hati dengan sandiwara yang dimainkan oleh Tony kerana kenyataan tersebut adalah helah DAP untuk meraih sokongan pengundi Cina kepada mereka.

''Tony dan DAP sebenarnya sedang memancing sokongan pengundi kepadanya dengan melontarkan isu sensitif yang melibatkan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.

''Beliau tahu melalui tindakan berkenaan pemimpin Melayu akan marah dan ia membolehkan kaum Cina hilang kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) dan menyokong DAP,'' katanya.

Tony ketika membuat dakwaan itu meminta pemansuhan diskaun berkenaan melibatkan pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor.

Cadangan beliau turut mendapat sokongan daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sementara itu, pensyarah politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, cadangan pemansuhan pemberian diskaun tersebut adalah satu tindakan yang boleh dianggap menentang dasar nasional.

Ahmad Atory berkata, pemberian diskaun kepada bumiputera sememangnya sudah termaktub dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan ia sentiasa dipatuhi oleh BN.

''Oleh itu jika DAP mahu menghapuskannya mereka perlu bersedia untuk menghadapi sebarang akibat berikutan tindakan tersebut,'' katanya.

DAP juga kata beliau, perlu memberikan penjelasan atas alasan apakah mereka mahu memansuhkan dasar pemberian diskaun berkenaan sedangkan jurang ekuiti antara bumiputera dan bukan bumiputera masih jauh.


utusan malaysia 31/7/2010

No comments:

Post a Comment