Saturday, July 10, 2010

Pas jangan bohong rakyat








KOTA BHARU 9 Julai - Pemimpin Pas digesa supaya tidak terus membohongi rakyat bahawa DAP telah menerima Islam atas alasan kedua-dua parti boleh duduk bersama dalam pakatan pembangkang sehingga berjaya mencipta kejutan pada pilihan raya umum lalu.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, kenyataan Karpal Singh yang menolak konsep tersebut sudah cukup untuk membuktikan bahawa DAP telah menolak negara Islam kerana beliau adalah pengerusi parti tersebut.

Malah beliau berkata, Karpal telah berulang kali mengeluarkan kenyataan yang sama dan Pas tidak perlu menunggu kenyataan secara rasmi daripada DAP untuk mengesahkan penolakan parti itu terhadap penubuhan negara Islam.

"Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz berkata dia hairan kenapa DAP tolak negara Islam. Bagi saya perkataan hairan itu cukup untuk menghairankan saya, kenapa Pas boleh percaya DAP, ini yang menjadikan saya hairan.

"Justeru itu, wajar Pas dan Nik Aziz berbohong kepada rakyat bahawa selama ini sejak Pas berkawan dengan DAP, DAP telah menerima Islam.

"Berhentilah memesong orang dengan ceramah-ceramah di kampung sebab kenyataan Karpal adalah kenyataan DAP kerana beliau pengerusi parti itu, lagi pun Kit Siang dan Guan Eng sudah bercakap sebelum ini," katanya selepas pertemuan ringkas dengan dengan Presiden Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Pheng Yin Huah di sini hari ini.

Pertemuan tersebut diadakan secara kebetulan di sebuah hotel di sini dan mereka berdua sempat bertukar pendapat mengenai isu semasa negara termasuk perkembangan politik tanah air.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ibrahim berkata, perpecahan di kalangan kaum Melayu menyukarkan tugas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membahagi-bahagikan kekayaan negara secara adil mengikut latar belakang sosioekonomi sesuatu kaum.

Katanya, Perdana Menteri menghadapi dilema dalam perjuangan untuk membela ekonomi kaum bumiputera akibat perpecahan di kalangan Melayu sendiri yang sentiasa berbalah, tidak boleh bersatu dan berterusan merebut kuasa.

"Ada golongan Melayu yang tidak sedar diri sehingga sanggup menggalakkan pembahagian kekayaan negara secara sama rata untuk semua kaum dan bukannya secara adil mengikut sosioekonomi.

"Perpecahan Melayu juga membawa kepada kaum lain lebih berani untuk menekan kerajaan. Jika kita cakap mengenai kepentingan kaum Melayu lebih sedikit, kaum lain akan marah.

"Namun, Perdana Menteri perlu yakin dengan perjuangan untuk bumiputera, sementara orang Melayu sendiri perlu bersatu menyokong usaha pembahagian secara adil ini tanpa mengira parti atau ideologi politik," katanya.

Beliau mengulas gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya pembahagian kekayaan negara tidak dibuat secara sama rata untuk semua tetapi secara adil mengikut tahap sosioekonomi sesuatu kaum.


utusan malaysia 10/7/2010

No comments:

Post a Comment