Semangat juang Kanang perlu diterap dalam sanubari setiap individu: KM
Posted on January 6, 2013, Sunday
KUCHING: Semangat juang Temenggung Datuk Kanang Langkau perlu diterapkan dalam sanubari setiap individu untuk lebih maju ke hadapan.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, Malaysia mungkin tidak akan dapat mengecapi keamanan dan kemakmuran seperti yang dinikmati hari ini sekiranya tanpa jasa dan pengorbanan Kanang yang merupakan wira negara terulung.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Datuk Kanang. Saya rasa bahawa kita telah kehilangan seorang pahlawan yang telah menunjukkan keberanian yang tinggi sekali. Oleh sebab wujudnya sema-ngat sedemikian, kita dapat menikmati keamanan dan kemewahan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan ter-akhir kepada wira negara itu di Dewan Suarah di sini, semalam.
Taib turut memberitahu kerajaan negeri akan mem-pertimbangkan pemberian bantuan khas kepada keluarga mendiang.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dibincangkan dengan teliti terlebih dahulu.
“Kita akan bincangkan soal ini (bantuan khas),” katanya.
Menurut Taib, jasa dan pe-ngorbanan Kanang selaku pah-lawan terunggul negara wajar diiktiraf kerana menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran negara.
“Saya sedar bahawa mendiang Datuk Kanang sempat melihat tahun ke-50 Malaysia ditubuhkan, iaitu satu dari-pada tanda kejayaan, pengorbanan pahlawan-pahlawan kita seperti pejuang-pejuang lain di Malaysia,” katanya.
Taib turut melahirkan harapan agar generasi muda tidak memandang remeh soal perpaduan dan keamanan, sebaliknya terus menghargai pe-ngorbanan wira negara.
Walaupun negara aman damai, katanya, tetapi kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar keamanan itu tidak terancam.
“Dalam menegakkan ke-amanan ini, kita mesti tumpukan usaha kita kepada soal-soal sosial yang tidak akan membawa ancaman kepada perpaduan negeri kita.
“Kerana perpaduan akan mengelakkan negara kita daripada menjadi negara yang menghadapi banyak cabaran termasuk cabaran merosakkan kestabilan negara,” katanya.
Sementara itu, Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah turut meluangkan masa untuk memberi penghormatan terakhir ke-pada mendiang.
Tun Salahuddin dan Toh Puan Norkiah tiba sekitar jam 11.20 pagi, manakala Taib serta isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi Taib tiba 20 minit sebelumnya.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu serta pemimpin negeri lain telah mula kelihatan di Dewan Suarah seawal jam 10.30 pagi.
Penghormatan terkahir itu yang turut dihadiri orang awam dimulakan pada jam 10 pagi hingga 5 petang semalam ma-nakala hari ini dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Sebelum upacara pengebumian negara yang penuh adat istiadat ketenteraan hari ini, mayat mendiang Kanang dibawa ke Gereja Anglikan St Thomas di sini bagi upacara keagamaan pada jam 1 petang.
Kanang, 68, yang meninggal dunia di HUS di sini akibat serangan jantung jam 1.45 pagi Khamis lepas akan disemadi-kan di Makam Pahlawan, Jalan Taman Budaya, di sini pada jam 3 petang ini.
Makam Pahlawan itu turut menempatkan 21 pusara wira negara yang terkorban ketika misi mengamankan negara.
Mendiang adalah anak jati Sarawak yang menjadi kebanggaan negara atas keberaniannya menentang komunis ketika bersama Angkatan Tentera Malaysia dari tahun 1962 hingga 1983.
No comments:
Post a Comment