Tuesday, August 9, 2011

Imarahkan masjid sepanjang Ramadan



by Kepu Sidi. Posted on August 8, 2011, Monday
Masyarakat Islam di negeri ini diseru memperbanyakkan lagi aktiviti keagamaan

BINTANGOR: Masyarakat Islam di negeri ini diseru memperbanyakkan lagi aktiviti keagamaan di masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan ini.
Ia mampu menceriakan lagi bulan Ramadan di samping memberi kesan positif seperti merapatkan hubungan, mengisi masa yang terluang dengan aktiviti keagamaan dan matlamat lain yang menjurus kepada kebaikan bersama.
Ketua Penerangan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Abdul Aziz Tan Sri Adenan berkata, program berkenaan bertujuan untuk mengimarahkan lagi masjid dan surau sempena bulan Ramadan ini.
“Pengisian bulan Ramadan dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, kerohanian dan keagamaan mampu mengelakkan umat Islam daripada melibatkan diri dengan aktiviti yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.
“Di samping itu,  ia juga secara tidak langsung akan menyerikan lagi bulan Ramadan serta bertindak sebagai pengerat dan menjalinkan hubungan silaturahim yang kukuh di kalangan umat setempat.
“Saya berharap bulan Ramadan ini akan dipenuhi rasa keinsafan dan kesedaran serta berharap semua peringkat usia akan lebih mendekatkan diri dengan  masjid dan surau untuk menunaikan kewajipan sebagai umat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Tadarus Ramadan di Surau Darul Ehsan Bintangor, semalam.
Program tersebut adalah anjuran Biro Ekonomi Pemuda PBB Sarawak serta Pemuda PBB Zon Tengah Sarawak dan turut dijayakan oleh Pemuda PBB N40 Meradong dan rakan Surau Darul Ehsan Bintangor.
Dalam majlis yang sama, Ahli Majlis Tertinggi Pemuda PBB Sarawak Radin Kadri berkata, program sebegini dapat mengelak remaja daripada melakukan aktiviti yang tidak sihat serta mengeratkan hubungan masyarakat.
“Golongan ini harus kita berikan tumpuan yang lebih khusus pada masa sekarang berikutan banyak gejala sosial yang membelenggu golongan ini yang berpunca daripada cetek pengetahuan agama serta mudah terpengaruh kerana iman mereka masih lagi belum kukuh dan tahan godaan.
“Semua ini adalah tanggungjawab bersama dan adalah sangat tidak wajar sekali bagi kita menggalaskan beban tersebut di  bahu ibu bapa dan keluarga sahaja tetapi kita selaku masyarakat sekitar yang peka dan bertanggungjawab juga mempunyai peranan yang amat penting dalam perkara terbabit.
“Gandingan bahu yang padu daripada semua pihak lebih memudahkan perkara dan masalah tersebut diurus dengan lebih lancar dan berkesan serta mampu membendungnya dengan segera sebelum ia menjadi gejala yang serius kerana kesan dan akibatnya nanti juga pasti akan melibatkan kerugian semua pihak,” kata Radin.
Pada masa yang sama, Abdul Aziz turut menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau di sekitar Bintangor.
Turut hadir Naib Ketua Cawangan PBB N40 Meradong Rosli Umar sertakira-kira 50 orang umat Islam sekitar Bintangor.

No comments:

Post a Comment