Saturday, August 13, 2011

DPMM bantah tukar saham MAS, AirAsia




2011/08/12  berita harian
KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) membantah perjanjian pertukaran saham antara Khazanah Nasional Bhd yang menguasai kepentingan dalam Penerbangan Malaysia (MAS) dengan Tune Air Sdn Bhd, syarikat induk kepada AirAsia di bawah Rangka Kerja Kerjasama Komprehensif (CCF) pada Selasa lalu.

Ini kerana DPMM menyifatkan ia seperti menjual aset rakyat kepada pihak lain dan menjatuhkan maruah syarikat penerbangan nasional itu serta menunjukkan seolah-olah ia gagal diurus dengan baik.
Presidennya, Syed Ali Alattas, berkata pihaknya prihatin dengan nasib MAS dan mahu ia terus dimiliki oleh rakyat kerana sebagai syarikat penerbangan negara, MAS mempunyai nilai yang tinggi melebihi nilai pasaran.
Jangan bila ada masalah dan rugi, kita atasi secara mudah dengan menyerahkannya atau jual kepada orang lain kerana akhirnya ia boleh menjadi milik bangsa asing. - Syed Ali Alattas, Presiden DPMM
“Justeru, ia seharusnya dijaga dengan baik supaya maruah negara dan nasib rakyat tidak tergadai. DPMM memandang serius urus niaga pertukaran saham antara MAS dengan AirAsia kerana khuatir berlaku penghakisan saham MAS kepada pihak luar yang akan menjejaskan maruah negara,” katanya semalam.

Syed Ali berkata, di negara maju, semua aset penting untuk kepentingan rakyat dikuasai kerajaan dan sehubungan itu mahu MAS yang diamanahkan oleh rakyat kepada kerajaan, kekal menjadi milik rakyat.

“Dalam perniagaan ada turun naik. Jangan bila ada masalah dan rugi, kita atasi secara mudah dengan menyerahkannya atau jual kepada orang lain kerana akhirnya ia boleh menjadi milik bangsa asing. Selain itu, maruah kita akan terjejas seolah-olah tidak mampu mengurus MAS hingga memalukan anak bangsa. Kita juga persoalkan sama ada nilai jualan atau pertukaran saham itu setanding dengan nilai MAS itu sendiri,” katanya.

Syed Ali berkata, tindakan itu juga seolah-olah memberi isyarat bahawa apabila sesebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berdepan masalah, ia akan diselesaikan dengan dijual kepada orang lain.
“Jika MAS berdepan masalah pengurusan, sepatutnya ia diperbetulkan dengan menggantikan pengurusan baru seperti yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Ditanya tindakan yang boleh diambil kerana pertukaran saham sudah berlaku, Syed Ali berkata, ia masih boleh hentikan seperti pembinaan jambatan bengkok yang menghubungkan Malaysia dan Singapura apabila perjanjian dibatalkan separuh jalan.

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum;

    Bulan Ramadhan Al-Mubarak ini merupakan satu bulan cabaran kepada umat Melayu-Islam di bumi bertuah Malaysia ini.

    Isu murtad belum pun reda kerana gangguan kafir laknatullah, timbul pula isu MAS-AirAsia dan isu PEMANDU yang tidak memberi apa-apa faedah kepada Bumiputera dan sekaligus bercanggah dan bertentangan dengan hasrat Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Sepanjang ingatan kita, dulu-dulu Mas bergelora, maka salah satu hartanah Mas di Pusat Bandar Kuala Lumpur telah dijual, kononnya dapatlah untung besar.

    Kini Mas dengan AirAsia pula, untuk bercampur dan bertukar saham. Aset Mas ?. Kalau berniaga macam ni, pak ngah pak da kampung pun boleh berniaga. Cuma tak bolehlah mengadakan istilah-istilah yang menggegarkan. Takut-takut yang yang dikendung berciciran dan yang dikejar tak dapaat. Jangan jadi Melayu-Islam terpinga-pinga di persimpangan !. Wallahua'alam.

    ReplyDelete