Friday, October 11, 2013

PBB tidak mengganggu parti komponen BN



PBB tidak akan bertanding di Krian: Adenan

Utusan Borneo October 11, 2013, Friday
KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana ia telah diperuntukkan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) lain iaitu Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Ketua Penerangan PBB Tan Sri Datuk Adenan Satem berkata, laporan portal berita mengatakan PBB mahu bertanding di Krian hanya tindakan pihak tertentu yang mahu menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti itu.
Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Publisiti Konvensyen PBB Ke-13 di pejabatnya di Kompleks Yayasan Sarawak di sini semalam turut mempersoalkan kesahihan laporan serta sumber yang dipetik.
“Apa yang pasti bagi saya, ada pihak yang cuba memecah belah atau memburukkan hubungan antara PBB dan SPDP.
Mereka tidak akan berjaya kerana hubungan antara kedua-dua parti sentiasa sangat bagus,” tegasnya.
Bagaimanapun, ketika ditanya kemungkinan berlakunya pertukaran kerusi antara PBB dan SPDP sebelum PRN nanti, beliau sambil berseloroh menjawab: “Kita akan bincangkan perkara ini bila tiba masanya nanti.
” Portal berita Malaysiakini pada Jumaat lepas melaporkan beberapa ahli kanan PBB mahu parti itu bertanding di Krian memandangkan ahlinya di situ setakat ini seramai 2,500 orang, termasuk 600 penduduk rumah panjang yang sebelum ini merupakan ahli SPDP.
Berita bertajuk ‘PBB to contest the Krian state seat?’ (PBB akan bertanding di kerusi Krian?) itu turut melaporkan bekas Ahli Parlimen Saratok Jelaing Mersat antara individu yang menggalakkan kumpulan tersebut menyertai PBB.
Laporan itu juga mendakwa Jelaing yang merupakan bekas Ahli Parlimen Saratok selama tiga penggal serta bekas Timbalan Menteri Pengangkutan berasa amat marah selepas beliau tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas dan digantikan Presiden SPDP Tan Sri William Mawan yang telah memenangi kerusi berkenaan.
Menurut laporan portal berita itu lagi, Jelaing telah meletak jawatan daripada SPDP dan sekarang menggalakkan PBB mengambil alih Krian, malah seorang pemimpin kanan PBB yang tidak dinyatakan namanya, turut dipetik sebagai berkata ‘rakyat di situ mahu PBB bertanding di sana.
’ SPDP bertanding di Krian sejak ia ditubuhkan menggantikan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) pada tahun 2002.
Bagaimanapun, ia gagal mempertahankan kerusi itu pada PRN 2011 apabila bekas timbalan presiden parti Datuk Peter Nyarok tewas kepada Ali Biju dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ali tampil menentang Mawan pada PRU13 lepas di Saratok tetapi tewas kepada Menteri Pembangunan Sosial itu.

No comments:

Post a Comment