Friday, October 4, 2013

Generasi baru PBB perlu perkasa pengetahuan sejarah : Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem



PBB berjaya menyatukan hampir kesemua kaum Bumiputera di Sarawak

Utusan Borneo October 3, 2013, Thursday
KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berjaya menyatukan hampir kesemua kaum Bumiputera di negeri ini yang terdiri daripada Melayu, Melanau, Bidayuh, Iban dan Orang Ulu.
Ketua Penerangan PBB Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, ia dapat dibuktikan menerusi penubuhan awal parti itu yang wujud daripada penggabungan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) dengan Parti Bumiputera Sarawak (BUMIPUTERA) pada tahun 1973.
PESAKA ditubuhkan pada tahun 1962 oleh Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah Barieng yang mendapat sokongan kuat daripada komuniti Iban menetap di sepanjang Batang Rajang dari Sibu hingga Belaga.
Manakala Parti Bumiputera Sarawak yang ditubuhkan pada tahun 1968 oleh kaum Melayu dan Melanau yang berasakan mereka tidak diwakili dalam penubuhan dua parti politik awal iaitu Parti Negara Anak Sarawak (PANAS) pada 1960 dan Parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) pada 1961.
Penubuhan Parti Bumiputera Sarawak itu, katanya, telah menyebabkan BARJASA dan PANAS dibubarkan.
Hasil daripada kesatuan itu, katanya, apabila Pilihan Raya Umum diadakan pada 1970, pilihan raya langsung pertama dengan DUN mempunyai 48 ahli berjaya melayakkan Tun Abdul Rahman Yaakub sebagai ketua menteri Sarawak yang ketiga.
“Keputusan pilihan raya 1970 menyaksikan SUPP memenangi 12 kerusi begitu juga SNAP dan BUMIPUTERA, PESAKA (sembilan) dan enam kerusi lagi dimenangi parti lain yang bertanding, terutamanya Bebas.
“Tetapi parti yang memenangi 25 atau 26 kerusi layak membentuk kerajaan dan atas persefahaman tinggi SUPP dan Parti BUMIPUTERA bergabung untuk mempunyai 24 kerusi dan mereka berjaya memujuk dua ahli dari PESAKA Simon Mark Maja dan Penghulu Abok Jalin menyertai kumpulan itu,” jelasnya.
Beliau menambah selepas penubuhan Malaysia, PESAKA menyatakan hasratnya mahu menyertai Parti BUMIPUTERA dan pada tahun 1973 hasrat mereka itu diterima sehingga terbentuknya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Selepas itu, katanya, SNAP mengisytiharkan dirinya sebagai parti pembangkang dan pada Pilihan Raya Umum dan Negeri yang diadakan serentak pada 1974, ia bertanding menentang perikatan yang sudah pun dikenali sebagai Barisan Nasional (BN).
Pada pilihan raya itu, jelasnya, BN menang 30 kerusi manakala SNAP 18, sekali gus menyaksikan Tun Abdul Rahman kekal sebagai ketua menteri di bawah PBB dan bersara pada 1981.
Tempat beliau diambil alih Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sehingga sekarang.
“Jika kita melihat semula sejarah penubuhan PBB bermula dengan penubuhan parti PANAS pada 1960, kita boleh mengatakan PBB adalah parti politik yang boleh mengatasi banyak cabaran.
“Bermula dari parti politik yang kecil dengan hanya lima kerusi DUN, bertambah kepada 35 kerusi.
SNAP juga merupakan cabaran besar kepada PBB sebelum ini, begitu juga Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) tetapi kita berjaya menanganinya,” ujar beliau yang juga Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas).
Sementara itu, katany,a adalah perlu untuk generasi muda mengetahui sejarah penubuhan parti BN tunggal Sarawak kerana ia merupakan parti yang berjaya menyatukan Bumiputera di negeri ini.
“Generasi muda mungkin tidak tahu apa yang berlaku dalam sejarah penubuhan PBB, dan kita tidak mahu mereka mengetepikan signifikan penubuhan parti ini terutama pembentukan negeri yang pelbagai kaum,” ujarnya.
Hadir sama pada sidang media itu Timbalan Ketua Penerangan PBB Datuk Peter Minos dan Ahli Majlis Tertinggi PBB Datuk Idris Buang.


No comments:

Post a Comment