by Kepu Sidi. Posted on October 7, 2013, Monday
Sikap dan pemikiran negatif itu perlu dikikis kerana pada dasarnya ia hanya merugikan, kata Len
TANJUNG MANIS: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh meminta masyarakat agar mengubah sikap dan mentaliti yang suka berserah kepada takdir dan malas berusaha kerana ia hanya membantutkan perkembangan dan kemajuan seseorang.
Len berkata, sikap dan pemikiran negatif itu perlu dikikis kerana pada dasarnya ia hanya merugikan.
“Masyarakat hari ini tidak boleh lagi berdiam diri dan menyerah kepada takdir semata-mata, tetapi perlu berusaha untuk maju.
“Bahkan, kita perlu meningkatkan usaha bagi menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan dalam menghadapi era globalisasi agar tidak terus ketinggalan,” katanya.
Len berkata demikian pada penangguhan Program 1AZAM Kursus Asas Pertukangan anjuran PUSAKA di Dewan IKS, Tanjung Manis, semalam.
Menurut Len yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Belawai, setiap individu tidak boleh lagi berada di takuk lama atau menyisih diri daripada masyarakat lain sebaliknya bersedia berubah dari segi sosial dan ekonomi.
Pada masa yang sama katanya, mereka perlu mempunyai semangat ingin berubah daripada tidak baik kepada yang baik serta menanam azam untuk maju.
“Kepentingan menuntut ilmu perlu diletak sebagai keutamaan. Serentak dengan itu, mereka juga perlu bersatu padu dalam menghadapi apa juga keadaan dan tidak berbalah sesama sendiri hanya disebabkan perkara yang tidak penting.
“Jika kita berilmu tetapi tidak bersatu, ini juga sukar untuk membina tamadun bangsa. Justeru, kita perlu mengukuh semula hala tuju supaya matlamat membina ummah cemerlang tercapai,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengurus Kanan Perdagangan dan Industri Dayang Nena Abang Bruce dalam ucapan alu-aluannya berkata, peluang yang ditawarkan oleh kerajaan melalui PUSAKA tidak sepatutnya dilepaskan kerana ia bukan sahaja bertujuan meningkatkan pendapatan keluarga tetapi mampu mengubah masa depan.
Apa yang lebih penting katanya, PUSAKA mendapat kepercayaan Unit Perancangan Negeri (UPN) di Jabatan Ketua Menteri yang bersedia menawarkan bantuan dan sokongan kepada sesiapa sahaja yang berminat menyertai program seumpama itu.
“Ini satu peluang keemasan yang perlu direbut oleh Bumiputera. Program ini juga merupakan antara usaha membimbing usahawan meliputi pembangunan modal insan dan kualiti produk yang dihasilkan,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bahagian Sarikei Ahmat Adai.
No comments:
Post a Comment