Friday, December 28, 2012

Rakyat harus bersama kerajaan untuk memajukan Sarawak - YAB Pehin Sri Taib Mahmud




Rakyat dan k’jaan harus berganding bahu memajukan Sarawak: Taib


KUCHING: Rakyat dan kerajaan Barisan Nasional (BN) harus terus berganding bahu, bergerak bersama penuh dedikasi untuk memastikan Sara-wak membangun dengan pesat seterusnya mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata kerjasama itu juga akan menentukan rakyat di negeri ini terus hidup dalam keamanan, kestabilan, keharmonian selain maju dan progresif.
Beliau berkata sokongan rakyat terhadap dasar kerajaan BN selama ini terhadap keutamaan membasmi kemiskinan, membangunkan pendidikan dan memperhebatkan sistem latihan mesti dikekalkan.
Menurutnya usaha melatih belia serta lepasan sekolah dari kawasan luar bandar untuk menjalani latihan teknikal pen-ting kerana ia dapat meningkatkan kemahiran golongan berkenaan bagi memenuhi keperluan pelbagai peluang dijana dalam Koridor Tenaga Di-perbaharui Sarawak (SCORE) dan seluruh Sarawak.
“Saya amat berterima kasih kepada sokongan dan doro-ngan rakyat yang menyokong penuh dasar kerajaan BN me-numpukan keutamaan terhadap pembasmian kemiskinan, keutamaan kepada pendidikan dan kehebatan latihan.
“Kita mesti berani menghadapi masa depan yang penuh mencabar dan memerlukan persaingan dan inovasi.
“Kita mesti sanggup melengkapkan generasi muda, belia dan lepasan sekolah dengan memberi peluang melatih mereka sehingga mampu mempertingkatkan kebolehan menjadi pekerja efisien, produktif juga menyumbang kepada per-kembangan ekonomi negeri dan negara tercinta,” katanya dalam perutusan sempena Hari Krismas 2012.
Taib berkata untuk tujuan itu maka kerajaan BN telah bertungkus-lumus berusaha gigih membuka enam universiti dan banyak lagi institusi pengajian tinggi di Sarawak memberi ruang dan peluang ramai belia serta lepasan sekolah dapat dilatih menimba ilmu dalam pelbagai bidang kemahiran dan teknikal.
“Disebabkan keutamaan itu maka kerajaan telah me-nubuhkan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) bertujuan melatih belia-belia, lepasan-lepasan sekolah yang kebanyakan mereka datang  dari luar bandar supaya diberi peluang meningkatkan kapasiti atau keupayaan mereka mendapat kerja yang baik seterusnya memberi pendapatan lebih lumayan,” katanya.
Taib juga berterima kasih kepada rakyat pelbagai agama dan keturunan di negeri ini atas sokongan yang padu serta pe-nyertaan hebat terhadap segala pembangunan transformasi dilaksanakan oleh kerajaan BN di bandar dan luar bandar bertujuan memberi manfaat serta kesejahteraan kepada rakyat.
“Saya juga sangat menghargai persefahaman serta sokong-an rakyat terhadap projek-projek transformasi dalam SCORE yang berfokus kepada potensi besar kerana Sarawak dapat menjana serta membekalkan tenaga hidroelektrik dengan kadar mapan, lestari diperbaharui dalam kaedah yang memberi daya maju ekonomi kepada pelabur-pelabur industri-industri intensif tenaga di Samalaju dan kawasan SCORE lain.
“Pembangunan SCORE akan membuka peluang ke-pada ramai pekerja yang mempunyai kemahiran dan kepakaran,” katanya.
Dalam perutusannya itu juga Ketua Menteri berkata kerajaan negeri menghargai kerja-sama rapat antara kerajaan pusat atas peruntukan kewangan untuk gereja dan rumah-rumah ibadat serta bantuan kewangan sekolah mubaligh dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina.
“Saya menghargai kerjasama yang rapat antara saya dan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak serta berterima kasih kepada Perdana Menteri yang bermurah hati meluluskan peruntukan kewangan untuk gereja dan rumah-rumah ibadat serta bantuan kewangan sekolah mubaligh dan SJK Cina,” ujarnya.

Posted on December 25, 2012, Tuesday

No comments:

Post a Comment