Lebih baik habiskan pengajian sebelum bertanding pilihan raya
Posted on December 18, 2012, Tuesday
KUCHING: Langkah kerajaan membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) jelas menunjukkan keterbukaan dan ketelusan kerajaan dalam mentadbir negara.
Namun di sebalik keterbukaan dan ketelusan itu, langkah kerajaan membenarkan pelajar IPT bertanding pada usia yang belum matang dalam arena politik mungkin akan menghancurkan masa depan pelajar itu sendiri.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Madya Mohd Fadzil Abdul Rahman yang khuatir pengajian pelajar akan terjejas jika bertanding berkata beliau tidak menghalang jika itu pilihan mereka.
Tetapi menurutnya, perlu diingat bahawa status sebagai seorang pelajar perlu dilepaskan jika memilih untuk bertanding sebagai calon PRU13 yang mana ia merupakan satu keputusan yang kurang bijak untuk seorang pelajar yang masih cetek ilmu di dada.
“Saya secara peribadinya tidak menghalang jika ada di kalangan pelajar IPT ingin bertanding sebagai calon pada PRU13.
“Tetapi sebagai seorang yang lebih dewasa bergelar bapa dan ahli akademik, saya tidak menggalakkan mereka mengorbankan pelajaran dan masa depan mereka untuk sesuatu yang belum pasti menjamin masa depan mereka.
“Mengapa tidak menghabiskan terlebih dahulu pengajian di peringkat universiti dan melengkapkan diri terlebih dahulu dengan ilmu, pengalaman dan kepakaran yang mencukupi sebelum memasuki dunia politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi semalam sebagai mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang membenarkan pelajar IPT bertanding pada PRU13.
Kebenaran itu menurut Khaled merupakan tanda kerajaan mengiktiraf fungsi dan sumbangan serta kematangan daya pemikiran mahasiswa di negara ini pada masa sekarang.
Tambah Fadzil, sebagai seorang yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pelajar, sukar untuk seseorang pelajar itu membahagikan masanya untuk pengajian dan kerjaya sebagai ahli politik di luar kampus.
“Untuk menjadi seorang ahli politik yang berkaliber, pertama ia menuntut ilmu dan kebijaksanaan.
“Pelajar merupakan golongan muda yang mudah terdorong kepada sentimen disebabkan taksbi kepada sesuatu perkara atau isu.
“Disebabkan sikap ekstremis ini ia akan mendorong kepada sentimen-sentimen tertentu yang tidak baik untuk negara,” katanya.
Jelas Fadzil lagi, tiada jaminan bahawa pelajar yang terlibat dalam politik tidak akan berpolitik di dalam kampus jika berjaya menjadi wakil rakyat.
Lebih membimbangkan apabila pengikut-pengikut dalam kampus turut serta dalam aktiviti berkempen dan sebagainya sehingga mengabaikan pengajian yang mana akhirnya mengundang kepada kegagalan.
“Politik adalah bermusim, selepas lima tahun jika tidak dipilih lagi bagaimana nasib mereka jika tidak dibekalkan dengan ilmu yang secukupnya serta masa depan yang kukuh.
“Justeru, pelajar-pelajar di luar sana yang mungkin berhasrat untuk bertanding seboleh-bolehnya tamatkan pengajian terlebih dahulu.
“Meskipun saya tidak menghalang pelajar untuk bertanding tetapi dalam hati kecil saya ada rasa kurang selesa dan khuatir ia akan menghancurkan peluang pelajar untuk berjaya di luar sana,” katanya.
No comments:
Post a Comment