Kualiti perkhidmatan, sistem pengurusan sistematik diakui pengguna
KUCHING: Perkhidmatan terminal bas di Kuching Sentral adalah antara yang terbaik ditawarkan kepada pengguna di rantau ini.
Kualiti perkhidmatan dan sistem pengurusan yang sistematik diakui sendiri oleh pengguna, pengusaha kantin serta kakitangan yang bertugas mengawal kelancaran pergera-kan penumpang di sini.
Meskipun melalui pelbagai krisis, namun selepas hampir sebulan beroperasi, terminal bas Kuching Sentral layak mendapat pujian.
Tidak hanya menyediakan ruang menunggu berhawa dingin, skrin menunjukkan jadual perjalanan bas dan kaunter penjualan tiket berkomputer, ia turut dilengkapi dengan kemudahan membeli-belah yang boleh dilakukan di bawah satu bumbung.
Keadaan ini membuatkan ramai dalam kalangan penumpang termasuk Norfazira Abdullah, 21, teruja untuk menaiki bas dari terminal ini menuju ke destinasi yang ditujui.
Menurut pelajar perubatan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini, tidak seperti terminal lama, Kuching Sentral memberikan jaminan keselamatan yang tinggi kepada penumpang khususnya dalam kalangan wanita.
Katanya, dengan adanya sistem kawalan 24 jam serta dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan lain, aspek keselamatan Kuching Sentral tidak perlu diragui lagi.
“Tidak dinafikan terminal bas Kuching Sentral adalah antara yang terbaik di rantau ini dan saya boleh katakan ia jauh lebih baik berbanding yang terdapat di Sabah.
“Meskipun ia agak jauh berbanding terminal lama di Batu 4, namun ia bukan masalah kepada penumpang kerana keadaan ini tidak membosankan dan banyak perkara boleh dibuat sambil menunggu masa untuk bertolak.
“Pada saya, apa yang lebih penting ialah tahap keselamatan penumpang di sini jauh lebih selamat berbanding terminal bas lama,” katanya.
Bagi memastikan kelancaran ketibaan dan pelepasan penumpang, pihak pengurusan turut menyediakan kekuatan anggota petugas bagi mengawal platform bas.
Difahamkan lebih daripada 20 orang ‘Platform Controller’ ditugaskan 24 jam mengikut giliran bagi memastikan ke-lancaran proses ketibaan dan keberangkatan penumpang.
“Sistem kawalan ketibaan serta pelepasan bas dan penumpang di terminal Kuching Sentral ini amat memuaskan sepanjang tempoh sebulan ini sejak hari pertama operasi. “Sebagai Platform Controller yang bertugas di sini, saya dapati proses ketibaan serta pelepasan bas dan penumpang sangat terkawal dengan jaminan keselamatan yang amat tinggi.
“Justeru pada saya, penumpang tidak perlu berebut-berebut untuk menaiki bas kerana semuanya telah diatur dengan rapi oleh pihak pengurusan,” kata Platform Controller Ezma Shanizi.
Tidak hanya memberi manfaat kepada penumpang, terminal bas ini turut memberi peluang perniagaan kepada peniaga kecil.
Antara yang bertuah dan berpeluang untuk berniaga di balai pelepasan dan ketibaan terminal bas ini ialah bekas pengusaha kantin di terminal lama yang ingin dikenali sebagai Sim.
Menurut Sim, dia telah berniaga di terminal bas lama selama 22 tahun dan atas sebab itu, pihak pengurusan Kuching Sentral telah menawarkan satu tapak berniaga kepadanya di terminal baharu.
“Pihak pengurusan banyak membantu kami peniaga di sini dan saya tidak menafikan bahawa mutu perkhidmatan ini adalah nombor satu ditambah dengan kemudahan yang serba serbi lengkap.
“Dengan adanya ruang berniaga di balai ketibaan dan pelepasan ini ia akan memudahkan lagi penumpang membeli makanan dan minuman sebelum bertolak,” katanya.
Kuching Sentral mempu-nyai 45 tempat letak bas, teksi dan van komersial (25), 400 tempat letak kereta serta tempat letak motosikal dan ia menjadi penghubung bagi seluruh Sarawak, Sabah, Brunei dan Indonesia.
Mampu menampung 12,000 penumpang, selain kemudahan kondusif dan moden yang menitikberatkan keselesaan pengguna, Kuching Sentral turut menyediakan kemudahan awam selain kamera litar tertutup (CCTV), surau dan mesin juruwang wang automatik (ATM).
No comments:
Post a Comment