Sunday, January 15, 2012

MAS jangan anak tirikan Sabah dan Sarawak - Pembantu Menteri Sabah

Azman Mokhtar, Big Boss dan decision-maker Khazanah Nasional (MAS parent holding company)

MAS diingat tidak lupa tanggungjawab sosial

by Borneo Post January 15, 2012, Sunday
KOTA KINABALU: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) diingatkan agar tidak melupakan tanggungjawab sosial mereka terhadap rakyat Malaysia khususnya Sabah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Edward Khoo Keok Hai, berkata MAS mempunyai tanggungjawab terhadap Sabah dan Sarawak untuk mempromosi integrasi dengan Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata MAS juga kena membantu dalam pembangunan aktiviti perniagaan di Malaysia Timur khususnya industri pelancongan di Sabah yang mana telah berkembang dengan pesat dalam masa 10 tahun.
“Saya sangat bersetuju dengan cadangan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, dan menyeru MAS datang ke Sabah berbincang dengan kerajaan negeri.
“Adalah tidak logik kalau mereka tidak ingin adakan perbincangan yang sewajarnya dengan kerajaan Sabah. Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan mereka tidak sepatutnya hanya bertindak berdasarkan keuntungan semata-mata,” katanya selepas merasmikan Pesta Tahun Baharu Tadika Chung Hwa, Penampang kelmarin.
Menurutnya, jika MAS hanya bertindak berdasarkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan tanggungjawab sosial mereka, maka syarikat penerbangan itu tidak ada bezanya dengan syarikat penerbangan yang lain di dunia.
Edward menambah mungkin sudah tiba masanya untuk Sabah mengalu-alukan kedatangan syarikat penerbangan lain untuk memberikan perkhidmatan bagi laluan antarabangsa dan domestik.
“Disebabkan MAS tiada bezanya dengan syarikat penerbangan seperti Dragon Air, Tiger Air dan lain-lain yang hanya berdasarkan keuntungan semata-mata, kemungkinan kedatangan syarikat penerbangan lain di Sabah boleh mencipta satu peluang persaingan perniagaan yang sihat dan ia juga baik kepada semua pengguna.
“Jika MAS tidak dapat bersaing, maka itu atas sebab MAS sendiri kerana mereka hanya memikirkan keuntungan semata-mata dan bukannya tanggungjawab mereka terhadap masyarakat,” katanya.
Edward berharap isu itu akan diselesaikan dalam masa terdekat dan beliau menyokong penuh pendirian kerajaan negeri dalam hal itu serta berharap orang ramai akan menyokong tindakan yang dibuat oleh kerajaan negeri ke atas isu berkenaan.
Katanya, sebagai syarikat penerbangan kebangsaan, MAS perlu melayan penggunanya sebaik mungkin dan mengutamakan tanggungjawab sosial mereka.
“Saya menyeru agar MAS memikirkan kembali strategi perniagaan mereka di Sabah. Seperti yang kita sedia maklum, semua pihak sentiasa memberikan sokongan tinggi kepada MAS.
“Jika diberikan pilihan, kami sentiasa memilih MAS sebagai syarikat penerbangan utama. Oleh itu, janganlah menyatakan kepada kami dan semua rakyat Sabah bahawa MAS memberhentikan laluannya kerana ia mengalami kerugian dari laluan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment