Monday, November 7, 2011

Adenan Satem agih daging korban kepada 1,600 penduduk di konstituensinya

Posted on November 7, 2011, Monday
LUNDU: Makna Hari Raya Aidiladha dikongsikan bersama oleh ADUN Tanjung Datu, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dengan mengagihkan daging korban kepada seramai 1,600 penduduk di sekitar konstituensinya yang terdiri daripada golongan memerlukan iaitu fakir miskin, orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.
Terdahulu, Adenan mengagihkan daging korban kepada 600 penerima di zon Sempadi melibatkan Kampung Sampadi, Kampung Rambungan, Kampung Sungai Cina, Kampung Selingok, Kampung Sungai Langgir dan Kampung Stoh di sini.
Selepas itu, Adenan mengagihkan daging korban kepada seramai 600 penerima di Kampung Seling Melayu dan kemudiannya ke Kampung Sekambal dan Bajo bagi mengagihkan daging korban kepada seramai 200 penerima dan turut menikmati makan tengah hari bersama penduduk di situ.
Selanjutnya, beliau juga telah mengagihkan daging korban kepada seramai 200 penduduk Kampung Tanah Hitam di Masjid Daerah Kecil Sematan.
Sebanyak 16 ekor lembu dikorbankan dalam ibadah korban tersebut iaitu lima ekor di zon Sempadi, lima ekor di Kampung Seling Melayu, empat ekor di Kampung Sekambal dan dua ekor di Tanah Hitam dan ia merupakan sumbangan Adenan, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan individu lain.
Adenan yang juga Menteri Tugas-tugas Khas berkata, beliau amat gembira melihat majlis disambut dengan penuh kesyukuran dan disemarakkan dengan semangat gotong-royong.
Katanya, semangat sedemikian amat penting kerana ia melambangkan keharmonian hidup bermasyarakat yang erat di kalangan umat Islam dan wajar dipertahankan oleh generasi muda yang bakal mewarisi dan mewarnai kepimpinan negara.
“Terima kasih kepada semua. Saya berasa gembira melihat penglibatan semua penduduk tanpa mengira tua dan muda bermula dari proses penyembelihan sehinggalah ke pengagihan daging korban,” katanya.
Ibadah korban di kawasan Tanjung Datu merupakan anjuran bersama PBB Tanjung Datu, Parlimen Santubong dan AJK masjid/surau kampung-kampung terlibat.
Hadir mengiringi Adenan bagi menyempurnakan pengagihan daging korban kepada para penerima ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Bujang Helmi Hazmi, Timbalan Ketua Cawangan PBB Tanjung Datu Abu Seman dan Pemanca Bujang.

1 comment: