Tuesday, September 10, 2013

Jawatan kanan PBB usul dikekalkan untuk kestabilan parti dan politik negri - PBB Satok



Abang Johari terus terajui PBB Cawangan Satok

Utusan Borneo September 10, 2013, Tuesday
USUL TANPA BAHAS: Idris mempengerusikan Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan Satok yang dibarisi gabungan ahli jawatankuasa yang lama dan baharu.
KUCHING: Menteri Perumahan dan Menteri  Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg kekal menerajui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok setelah berjaya mengekalkan jawatannya sebagai ketua cawangan.
Beliau mengekalkan jawatannya setelah menang tanpa bertanding pada mesyuarat perwakilan cawangan yang diadakan di sebuah hotel kelmarin.
Turut kekal memegang jawatan masing-masing untuk penggal seterusnya ialah Ibrahim Baki sebagai timbalan ketua dan Samad Gany sebagai setiausaha cawangan.
Sementara itu tiga jawatan naib ketua cawangan kini dipikul oleh Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg merangkap ketua Pergerakan Wanita, Iskandar Sharkawi merangkap ketua Pergerakan Pemuda yang baharu dan Basri Bolhassan yang merupakan penolong bendahari cawangan sebelum ini.
Sesi mesyuarat perwakilan cawangan dipengerusikan oleh Pengerusi Tetap Datuk Idris Buang.
Manakala Setiausaha Politik Ketua Menteri Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Setiausaha Agung Pergerakan Pemuda PBB Gerald Rentap Jabu masing-masing mempengerusikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita dan Pemuda.
Sebelum itu, Abang Johari telah merasmikan mesyuarat tritahunan tersebut pada sebelah pagi sambil dihadiri ratusan perwakilan dari peringkat kanan, Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan ranting-ranting cawangan.
Semasa mesyuarat perwakilan, cawangan Satok mengemukakan usul tanpa bahas menggesa supaya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dikekalkan jawatannya sebagai presiden PBB.
Mesyuarat tersebut juga memberi sokongan penuh kepada Abang Johari supaya dikekalkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok di samping menggesa agar kesemua jawatan kanan PBB dikekalkan bagi kestabilan parti dan politik negeri.
Pada masa yang sama, cawangan tersebut turut membincangkan usul mengenai sosial dan agama, keselamatan dan kesejahteraan serta usaha meningkatkan keahlian parti dan pengundi baharu.


No comments:

Post a Comment