Sunday, June 3, 2012

Rakyat perlu bersatu, jangan cari jalan untuk bermusuh - titah Agong


KUALA LUMPUR 2 Jun - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini bertitah mengingatkan rakyat supaya bersatu padu ke arah kebaikan dan tidak mencari jalan untuk bermusuhan sesama sendiri, yang pada akhirnya akan hanya mendatangkan musibah kepada semua.
"Apakah yang akan kita tinggalkan kepada darah daging kita, anak cucu kita, selaku generasi akan datang. Adakah sebuah negara yang punah atau watan yang makmur sejahtera. Pada hemat beta, semua pilihan ini terletak dalam tangan setiap rakyat Malaysia.
"Sekalipun atas nama politik atau apa-apa organisasi janganlah sehingga sanggup meletakkan ia melebihi kepentingan negara, hatta mengkucar-kacirkan keharmonian. Ini ternyata suatu perkembangan yang tidak sihat dan sewajibnya dielakkan," titah Seri Paduka pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Tuanku Abdul Halim berkata hakikatnya, kejayaan sebenar negara adalah apa yang akan dicapai di garis-garis hadapan dan bukannya tersimpul dalam detik-detik silam dan ia terbina atas harapan, impian, imaginasi dan usaha gigih semua anak-anak Malaysia.
"Dalam aspek ini, beta yakin, tiada sesiapa yang boleh menafikan bahawa keunikan Malaysia adalah tentang pendirian kerajaan yang mentadbir sejak sekian lama menurut kerangka serta acuan kita sendiri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment