Tuesday, August 31, 2010

Waspada pemimpin jangka pendek







MIRI: Rakyat Sarawak diingatkan agar berwaspada dengan idea pemimpin jangka pendek kerana ia boleh menjejaskan perpaduan dan kestabilan politik dalam jangka masa panjang, kata Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.



Golongan ini boleh menjejaskan perpaduan dan kestabilan politik dalam jangka masa panjang: Taib

“Tiada satu pun kerajaan dapat berfikir dalam jangka masa panjang tanpa kestabilan, tiada kerajaan dapat merancang dalam jangka masa panjang tanpa sokongan daripada rakyat.

“Jika anda mahu pemimpin yang baik, pastikan anda tahu menjaga mereka.

“Jika anda mahu pemimpin jangka pendek, mereka akan bercakaran sesama sendiri dan berebut jawatan.

“Ini bukan perkara yang baik untuk negara kita. Maafkan saya kerana memberitahu perkara ini,” katanya.

Taib yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri berkata demikian semasa mengulas desakan supaya beliau meletak jawatan sebagai Ketua Menteri barubaru ini semasa sidang media sejurus tiba di Lapangan Terbang Miri semalam.

Mengenai sokongan yang ditunjukkan oleh PBB dan rakyat di negeri ini, Taib gembira kerana hingga saat ini beliau masih menerima banyak sokongan.

“Bagi saya, sokongan ini membuktikan saya berjaya mengendalikan negeri ini dan memberi manfaat kepada semua termasuk anda (media), namun jika ada pihak yang masih menafikan, tidak mengapa,” katanya.

Beliau berterima kasih atas sokongan yang diberikan dan menganggap ia sebagai memudahkan beliau dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin nombor satu negeri.

“Saya hanya mahu sebuah kerajaan yang stabil dan efektif. Sehubungan itu dalam sejarah pentadbiran, saya mengutamakan perpaduan rakyat dan dalam masa yang sama membantu membangunkan rakyat.

“Ini memerlukan usaha yang banyak dan dalam proses itu banyak penyesuaian perlu dilakukan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment