Tuesday, August 31, 2010

MKT PBB ikrar taat setia

Oleh Hazel Lee

MIRI: Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semalam berikrar terus menyokong kepimpinan cemerlang Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri dan Ketua Barisan Nasional (BN) demi meneruskan kestabilan politik, keamanan dan keharmonian di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua I, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, PBB sanggup berkorban bersatu untuk menentang secara habis-habisan segala cubaan mahupun yang datang dari luar dan dalam yang berbentuk hendak melemah atau mencabar kestabilan BN.

“Kami sanggup berkorban bersatu menyokong pimpinan cemerlang Pehin Sri Taib kekal menjadi Presiden PBB selaku pengerusi BN, kekal menjadi Ketua Menteri Sarawak dan mengetuai BN dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya semasa membentangkan ikrar taat setia PBB di Bilik Menunggu Kenamaan Lapangan Terbang Miri hari ini.

Ikrar taat setia itu ditandatangani oleh ahli-ahli MT dan diserahkan kepada Pehin Sri Taib yang tiba di Lapangan Terbang Miri kira-kira jam 5.30 petang tadi. Ratusan terdiri daripada ahli MT, Pergerakan Pemuda dan Wanita dan ketua-ketua cawangan membawa sepanduk menyambut ketibaan Pehin Sri Taib.

Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, khidmat Ketua Menteri masih diperlukan bagi memastikan usaha transformasi pembangunan dan pelaksanaan pembangunan di seluruh Sarawak termasuk luar bandar tidak diganggu oleh orang luar yang tidak bertanggungjawab.

“Kami menyokong penuh kesinambungan jalinan dan semangat kerjasama yang erat antara Ketua Menteri dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjayakan gagasan 1Malaysia.”

“Kami sanggup berkorban bersatu dalam BN demi Sarawak kekal selamat, aman, stabil dan progresif dalam Malaysia,” katanya.

Terdahulu Timbalan Yang Dipertua II, Dato Sri Abang Abdul Rahman Johari Tun Abang Openg berkata, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) turut sebulat suara menyokong kepimpinan Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Beliau yang juga Presiden Saberkas menambah, pertubuhan yang dianggotai oleh 190,000 ahli itu mahu Taib kekal sebagai Ketua Menteri dan Ketua BN demi menjamin kemenangan cemerlang serta integriti yang tinggi kepada BN.

No comments:

Post a Comment