Monday, August 30, 2010

Rakyat masih sayang Taib







Penduduk Samarahan menghantar memorandum mahu Taib kekal sebagai Ketua Menteri Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Ribuan penduduk sekitar bahagian Samarahan termasuk Kuching berkumpul di Dewan Suarah Kota Samarahan petang semalam untuk menghantar memorandum menyatakan sokongan padu mereka kepada Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk terus kekal sebagai Ketua Menteri.Memorandum yang ditandatangani oleh lebih 1,000 penduduk pelbagai kaum itu disampaikan kepada Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis ringkas di sini.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Ripin Lamat, Timbalan Ketua Pergerakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Muara Tuang merangkap pengerusi bersama Hamzah Brahim, Pengerusi Bersama Datuk Safri Abdillah dan Wan Hamzah Wan Paee serta Ketua Penerangan Pemuda PBB Abdul Aziz Tan Sri Adenan.

Abdul Karim dalam ucapannya melahirkan rasa terharu atas sokongan tanpa berbelah bahagi rakyat terhadap Taib untuk terus menerajui negeri ini.

Beliau berkata memang tidak dinafikan ada desakan daripada pihak luar kepada Ketua Menteri meminta beliau berundur.

“Tetapi rakyat negeri ini tidak mahu Ketua Menteri berundur pada masa sekarang dan masih mahu beliau terus memimpin negeri ini selagi mampu meneruskan khidmatnya,” ujar Abdul Karim.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata desakan orang luar (pihak pembangkang) yang mahu Ketua Menteri berundur adalah semata-mata ingin melemahkan jentera pentadbiran negeri ini.

Menurutnya, kepimpinan Taib ternyata tiada tolok bandingannya kerana terbukti telah membawa banyak perubahan dan pembangunan di negeri ini.

“Kita memang akui Ketua Menteri (Taib) banyak berjasa kepada rakyat negeri ini, justeru sememangnya rakyat masih mahu beliau terus menerajui kepimpinan Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Hamzah dalam ucapannya turut menyatakan hasrat rakyat di sini dan seluruh negeri ini bahawa kepimpinan Ketua Menteri masih diperlukan.

Beliau berkata perubahan besar dan pembangunan pesat yang dilaksanakan oleh Ketua Menteri di seluruh pelosok negeri ini membuktikan bahawa kepimpinannya begitu dinamik.

“Kami penduduk di sini dan seluruh penyokong PBB mahu Ketua Menteri kekal menerajui negeri ini bagi melaksanakan lebih banyak pembangunan.

“Justeru, kami akan terus memberi sokongan padu kepada Pehin Sri Taib untuk meneruskan agenda pembangunan kepada rakyat negeri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment