Wednesday, March 27, 2013

YAB KM Pehin Sri Abdul Taib Bin Mahmud berdoa Sarawak terus maju




KM harap Sarawak terus maju

by Jessica Jawing. Borneo Post on March 27, 2013, Wednesday
SELAMAT ULANG TAHUN: Taib bersama isterinya Puan Sri Ragad Kurdi Taib memotong kek sempena ulang tahun ke-30 AZAM Sarawak sambil disaksikan Morshidi (empat kiri), Aloysius (kiri), Jabu (dua kanan) dan Jacob (kanan) semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi
SELAMAT ULANG TAHUN: Taib bersama isterinya Puan Sri Ragad Kurdi Taib memotong kek sempena ulang tahun ke-30 AZAM
Sarawak sambil disaksikan Morshidi (empat kiri), Aloysius (kiri), Jabu (dua kanan) dan Jacob (kanan) semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi
Masyarakat perlu diubah ke arah lebih progresif menerusi pekerjaan berkualiti tinggi
KUCHING: Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang menyambut ulang tahun ke-32 sebagai Ketua Menteri semalam berharap Sarawak akan lebih maju dan membangun dengan lebih baik.
Menurutnya, beliau mahu Sarawak terus maju ke hadapan terutamanya dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Kata beliau, bagi mencapai matlamat itu, adalah penting untuk mengubah masyarakat ke arah lebih progresif menerusi pekerjaan berkualiti tinggi di negeri ini.
“Saya berharap Sarawak akan lebih maju serta membangun dengan peluang-peluang dalam masyarakat kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Tengah Hari AZAM bersama Penaung 2013 yang bertemakan ‘Empowering Communities to Shape Sarawak’s Future’ di sini, semalam.
Selepas 13 tahun berkhidmat dalam kerajaan persekutuan, Taib mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan negeri pada 26 Mac 1981, apabila beliau sedar bahawa Sarawak terpaksa merangka strategi bukan sahaja untuk membangun, tetapi juga mengejar pembangunan negeri-negeri lain di Semenanjung.
Terdahulu, Taib yang juga Penaung AZAM dalam ucapannya berkata, Sarawak bakal meningkatkan bilangan kaunselor dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) pada tahun ini.
Katanya, ia bagi mengajak lebih ramai anggota masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan bersama-sama menggambar atau melahirkan apa yang mereka mahukan dalam proses pembangunan kerajaan.
“Pada tahun ini, kita berharap dapat menambah bilangan kaunselor kita bagi membolehkan mereka dari NGO dan persatuan bersama kita untuk bersama-sama mencerminkan pandangan mereka mengenai apa yang mereka inginkan,” katanya.
Beliau berkata, ini merupakan salah satu usaha kerajaan menambah baik PBT bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan lebih berkualiti.
“Kita mahu memastikan bahawa mereka yang berkeinginan untuk menyumbang kepada masyarakat dan kepentingan dalam isu-isu awam diberi peluang untuk tampil.
“Dari situ mereka boleh mengetahui bagaimana mereka boleh memainkan peranan pada peringkat akar umbi dan paling dekat dengan rakyat dengan berada dalam majlis tempatan,” katanya.
Mengenai AZAM, Ketua Menteri berkata pergerakan itu akan memainkan peranan lebih besar bagi menghadapi keinginan generasi muda yang lebih sofistikated pada masa kini.
Menurutnya, generasi muda kini bukan sahaja mempunyai idea secara mendalam mengenai proses pembangunan, malah berdepan pelbagai idea dari seluruh dunia untuk diguna pakai dalam masyarakat sendiri.
“Satu perkara yang perlu diambil kira AZAM kini ialah anda perlu melibatkan diri di peringkat lebih besar dan lebih mendalam iaitu perbahasan bersama golongan belia.
“Ini kerana golongan muda kini lebih berpendidikan dan bermaklumat dan saya berasakan mereka berpotensi untuk menyumbang secara serius ke arah pembangunan masyarakat,” katanya.
Taib menjelaskan, antara cabaran yang perlu dihadapi dalam membangunkan golongan belia ialah memberikan maklumat yang betul atau benar mengenai pembangunan yang telah dilaksanakan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada AZAM supaya mengadakan siri ceramah pembangunan dengan kerjasama PBT yang pada masa yang sama memenuhi keinginan generasi muda di Sarawak.
Ceramah bersiri itu, katanya, bakal menampilkan pelbagai profesion termasuk para akademik, penjawat awam dan ahli politik yang kemudiannya memberi iklim berbeza dalam PBT
Sementara itu, Pengerusi AZAM Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dalam ucapannya berkata, sejak penubuhan AZAM pada tahun 1980-an, AZAM telah berusaha mendekati generasi muda bagi memberi maklumat berhubung perkembangan semasa serta menjelaskan lagi peranan mereka dalam pembangunan.
“Ini telah kita lakukan melalui program-program seperti ceramah sekolah, pertandingan penulisan esei pembangunan, Program Membangunan Kempimpinan dan Komunikasi atau dikenali sebagai AYCC (AZAM Young Communicators Club).
“Malah AZAM mengadakan satu siri aktiviti persidangan video antarabangsa belia,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri itu.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh, Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa Datuk Jacob Dungau Sagan dan Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Datu Aloysius Dris.


No comments:

Post a Comment