Tuesday, November 6, 2012

Kerajaan Negri bergiat untuk menyediakan pekerjaan untuk rakyat - YB Datu Len Talif Salleh





10,000 pekerjaan disedia kepada rakyat Sarawak

by post
TAHNIAH: Len menyampaikan sijil kepada salah seorang daripada 145 graduan yang menyertai Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Ke-3 Sekolah Menengah Vokasional Matang dan Sekolah Menengah Vokasional Betong.
KUCHING: Sasaran 10,000 peluang pekerjaan disediakan kepada rakyat negeri ini sepanjang berlangsungnya Pameran Karier dan Latihan Sarawak 2012.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata, pameran yang berlangsung pada 10 dan 11 Disember itu diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Menurutnya, ia merupakan karnival kerjaya kemahiran terbesar yang pernah dianjurkan dengan melibatkan 250 agensi di seluruh negeri.
“Kami menjangkakan sebanyak 10,000 peluang pekerjaan untuk diisi menerusi temu duga terbuka sepanjang pameran ini berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Ke-3 anjuran Sekolah Menengah Vokasional Matang dan Sekolah Menengah Vokasional Betong di sini, semalam.
Len yang juga Menteri Muda Alam Sekitar menjelaskan, rakyat negeri ini terutama generasi muda sepatutnya merebut peluang untuk menghadiri temu duga terbuka yang diadakan.
Menurutnya, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) akan berusaha mendapatkan 40,000 belia Bumiputera bagi menceburi bidang kemahiran dengan yuran pengajian peringkat sijil dan diploma akan dibiayai sepenuhnya.
“Urus setia TEGAS akan mengiklankan perkara ini dalam masa terdekat untuk pengambilan bulan Disember 2012 dan Januari 2013,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kualiti pendidikan berteraskan vokasional dan kemahiran di negara ini perlu diperkasa untuk menjadi agenda utama sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
“Ia penting untuk memastikan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa dengan melanjutkan pendidikan wajib daripada enam kepada 11 tahun di mana latihan vokasional sebagai persediaan untuk pekerjaan,” jelasnya.
Tambahnya Malaysia juga perlu mengeluarkan pekerja mahir dan separuh mahir sehingga 40 peratus sekiranya mahu bersaing di peringkat global.
“Untuk tujuan itu, langkah awal kerajaan adalah memperkenalkan Sistem Latihan Dual National (SLDN) di kolej vokasional pada tahun depan,” kata Len.
Majlis konvokesyen semalam menyaksikan Zabbly Linggang daripada Sekolah Menengah Vokasional Betong dan Muhd Nadzirin Shariffuddin (Sekolah Menengah Vokasional Matang) menerima anugerah khas.
Seramai 100 pelajar Sekolah Menengah Vokasional Matang dan 45 pelajar Sekolah Menengah Vokasional Betong menyertai konvokesyen semalam.

No comments:

Post a Comment