Thursday, June 13, 2013

Sarawak akan jalin hubungan ekonomi lebih erat dengan Timur Tengah - YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud



Komited perkukuh ekonomi

by Jessica Jawing. Posted on June 13, 2013, Thursday
TUMPUAN PELABUR: Taib serta isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi Taib memerhatikan poster mengenai pelancaran buku Inside Sarawak 2013 oleh Inside Investor di Kuching, semalam.
Sarawak perhebat kerjasama, jalinan pelaburan dengan Timur Tengah: Taib
KUCHING: Sarawak komited untuk memperkukuhkan hubungan ekonomi dengan Timur Tengah dalam usaha menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, meskipun hubungan dengan Timur Tengah telah terjalin sejak sekian lama, tetapi sekarang tiba masanya untuk memperhebatkannya, memandangkan ramai pelabur dari kawasan berkenaan berminat untuk melabur di Asia Tenggara.
“Sejak dua, tiga tahun lepas, kita menerima sokongan serta kerjasama yang baik dengan Inside Investor atas sebab mudah, iaitu kita ada persefahaman tinggi mengenai penekanan kepada usaha untuk menarik pelabur dari Timur Tengah datang ke Asia Tenggara.
“Hari ini saya menyatakan sekurang-kurangnya ada sesuatu yang konkrit sedang berkembang antara Sarawak dan Qatar dan kita sudah mengenal pasti bidang mana yang kita mahu jalinkan hu-bungan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku Inside Sarawak 2013 yang diterbitkan Inside Investor dan dihadiri Pengarah Urusan Inside Investor Ltd Imran Saadique di sini, semalam.
Taib berkata, pelancaran buku itu mampu menjadi pemangkin kepada lebih banyak urus niaga lain antara Sarawak dan Timur Tengah.
Kata beliau, Sarawak menawarkan banyak peluang khasnya berikutan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang membolehkan banyak pihak mengambil bahagian dalam pengembangan dan pembangunan yang menawarkan pelbagai peluang perniagaan.
Tambahan pula, kata beliau, Sarawak mempunyai perancangan berterusan untuk 20 tahun akan datang termasuk mewujudkan tenaga hidro melalui beberapa empangan yang akan meningkatkan kuasa sehingga 20,000 megawatt, manakala 5,000 megawatt dijana daripada sumber arang batu.
“Malah ia memerlukan banyak pembiayaan dan berdasarkan pengalaman kami dalam pembangunan Empangan Murum, kami mendapat sambutan baik dari pasaran kewangan,” jelasnya.
Sementara itu, Taib berkata Taman Perindustrian Samalaju yang dilancarkan kira-kira dua tahun lalu kini mempunyai hampir 9,000 hektar estet perindustrian dan dilengkapi pelabuhan yang bakal beroperasi menjelang Disember depan.
Kata beliau, peringkat pertama pembangunan Samalaju telah membolehkan Sarawak menarik pelaburan bernilai sekurang-kurangnya RM4 bilion.
“Namun masih terdapat banyak permohonan untuk menubuhkan industri di kawasan Samalaju pada masa akan datang yang dijangka mampu mencapai lebih daripada RM20 bilion,” katanya.
Imran dalam ucapannya berkata, Sarawak merupakan contoh terbaik kepada negeri-negeri di Malaysia serta Asia Tenggara apabila muncul antara negeri yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi paling positif.
“Sejak 30 tahun lalu, Sarawak membangun dengan baik termasuk dari segi pertumbuhan ekonomi yang membawa manfaat dan peluang perniagaan kepada rakyatnya,” katanya.
Dalam pada itu, Sarawak dijangka muncul sebagai antara tiga negeri yang menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Jangkaan itu menurut buku Inside Sarawak 2013 adalah berdasarkan keupayaan SCORE dalam memacu pertumbuhan KDNK hingga enam peratus pada tahun 2015 berbanding lima peratus pada tahun 2012.
“Pada masa sekarang, Sarawak menyumbang kira-kira 9.5 peratus terhadap keseluruhan KDNK sebenar Malaysia.
“Sumbangan KDNK Sara-wak pada 2012 cuma berada di kedudukan selepas Selangor, Johor dan Pulau Pinang,” kata buku tersebut dipetik menerusi artikel Sarawak Outlook.
Sebagai negeri terbesar dalam Malaysia dan mungkin negeri terkaya, Sarawak kini di landasan betul ketika negara berada di pertengahan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang mula dilaksanakan pada 2010.
Majoriti perbelanjaan kerajaan menerusi RMK10 disalurkan bagi memperbaiki infrastruktur terutama peng-angkutan, pengurusan urbanisasi dan menukar Sarawak sebagai hab industri tenaga.
“Dengan SCORE sebagai pemacu pertumbuhan, Sara-wak berupaya mencapai enam peratus KDNK pada 2015,” katanya.
Ekonomi Sarawak tumbuh lima peratus pada 2012, antara yang terpantas di kalangan negeri-negeri lain Malaysia, malah di ASEAN.
“Perkembangan sihat itu ditunjangi oleh kekukuhan permintaan domestik dijana aktiviti-aktiviti ekonomi daripada pelaksanaan SCORE dan projek-projek RMK10,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment