Wednesday, May 8, 2013

DAP mahu kuasai kawasan Bumiputera - Chong Chieng Jen.


DAP mahu kuasai kawasan Bumiputera

by Patricia Gari. Posted on May 8, 2013, Wednesday

Kawasan yang dimaksudkan ialah DUN Tasik Biru, Tupong, Satok, Tarat dan Kedup
KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) memulakan persiapan untuk menguasai lebih banyak kawasan Bumiputera di Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang.
Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata kawasan yang dimaksudkan itu ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru, Tupong, Satok, Tarat dan Kedup.
Beliau memberitahu, bagi tujuan itu parti akan membuka pusat khidmat di Tasik Biru, Bau dan Matang sebagai tambahan kepada pusat khidmat sedia ada di Serian dan Siburan.
“Ini adalah strategi masa depan DAP Sarawak khasnya untuk menguasai lebih banyak kerusi DUN.
“Jadi kerusi  DUN seterusnya yang menjadi sasaran DAP ialah Tarat, Tupong, Satok, Tasik Biru dan Kedup.
“Ini adalah usaha untuk kami memperluaskan pengaruh parti di Sarawak khasnya,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Chong yang berjaya mempertahankan Parlimen Bandar Kuching berkata keputusan itu diambil ekoran keputusan PRU baru-baru ini yang menunjukkan Pakatan Rakyat (PR) mendapat sokongan yang tinggi daripada rakyat di Sarawak khususnya di kawasan bandar.
Menurutnya sebelum ini undi popular Barisan Nasional (BN) 4 juta manakala PR 3.7 juta bagaimanapun PRU kali ini pembangkang memperoleh undi popular 5.5 juta, kira-kira 300,000 lebih tinggi berbanding BN.
“Namun kami (PR) masih belum mampu membentuk kerajaan dan perkara ini amat mengecewakan penyokong kami,” ujarnya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), BN menang di 126 kerusi Parlimen manakala PR 76 yakni DAP 35 kerusi, diikuti Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebanyak 21 dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 20 kerusi.
Manakala pencapaian PR di peringkat negeri Sarawak, DAP menang di lima Parlimen iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sibu, Lanang dan Sarikei manakala PKR, satu iaitu Miri.
Sementara itu, pada Pilihan Raya Negeri 2011, DAP menang di 12 kerusi DUN iaitu Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Kawah, Meradong, Repok, Bukit Asek, Dudong, Pelawan, Kidurong, Piasau dan Pujut.

No comments:

Post a Comment